Anda di sini

Unit integriti ditubuh di semua agensi kerajaan negeri 

Abang Johari melakukan simbolik pelancaran Kursus Pegawai Integriti  Bertauliah (CEIO) sempena Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 hari ini.
Abang Johari melakukan simbolik pelancaran Kursus CEIO sempena Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Integriti diketuai pegawai integriti bertauliah (CEIO) di semua kementerian dan jabatan kerajaan negeri termasuk badan-badan berkanun negeri.

Bagi tujuan itu, Kursus CEIO dilancarkan hari ini bagi melatih 40 orang penjawat awam negeri termasuk daripada badan-badan berkanun negeri untuk ditempatkan di setiap unit itu nanti. 
 
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak merupakan negeri pertama mengambil inisiatif ini sebagai komitmen meningkatkan integriti di kalangan penjawat awam. 
 
Bukan itu sahaja, mulai hari ini juga, seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan ditempatkan di Unit Integriti dan Ombudsman Negeri untuk membantu dalam membudayakan integriti, meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus dalam pentadbiran termasuk badan-badan berkanun negeri. 

“Saya juga ingin menegaskan supaya semua agensi kerajaan negeri mengenalpasti risiko rasuah masing-masing dan menyediakan pelan pengurusan rasuah masing-masing. 

“Bagi meningkatkan tahap integriti sekali gus membanteras rasuah, saya mahu supaya kumpulan sokongan turut diberi perhatian dengan menyediakan kursus yang sesuai untuk mereka,” katanya dalam amanatnya sempena Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019 di Pusat Konvensyen Penview (PCC) di sini hari ini anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri dengan kerjasama SPRM. 

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. 

Selain mendengar amanat daripada Ketua Menteri, peserta yang menghadiri majlis ini turut mendengar tiga ceramah mengenai integriti yang disampaikan oleh penceramah bertauliah. 

Antaranya, Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Dato Sri Zakaria Jaffar, Presiden Transparency International Malaysia, Dato Sri Akhbar Satar dan ceramah daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri.