Anda di sini

Tukang kayu curi kereta majikan selepas bakar premis tempat kerja

Advertisement
SUSPEK melarikan kenderaan pacuan empat roda majikannya berjaya dikesan oleh sepasukan polis trafik.
SUSPEK melarikan kenderaan pacuan empat roda majikannya berjaya dikesan oleh sepasukan polis trafik.

TAWAU: Seorang suspek kes curi kereta yang mengaku menghidap sakit mental dipercayai turut bertanggungjawab menyebabkan kebakaran premis rumah kongsi pekerja, pejabat dan gudang majikannya di Batu 5 Jalan Apas, di sini hari ini.

Lelaki warga asing yang berumur 33 tahun itu ditangkap di kawasan lampu isyarat Batu 3 Jalan Apas kira-kira jam 7.55 pagi semasa memandu kenderaan majikannya.

Syarikat berkenaan pula terpaksa menanggung kerugian sehingga RM250,000 apabila premis-premis terbabit musnah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata mengikut rekod aduan diterima, pemilik syarikat terbabit, lelaki, 48, berada di lokasi kebakaran pada jam 5.18 pagi.

“Ketika orang lain sibuk memadam kebakaran, suspek pula memasuki kenderaan milik majikannya sebelum melarikan diri kira-kira jam 7.20 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan suspek disedari orang ramai yang berada di lokasi kejadian sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan syarikat terbabit.

Menurutnya, sebelum ditahan juga suspek disyaki ada melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang wanita, 41, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan MRSM.

“Siasatan kemudiannya mendapati suspek salah seorang daripada penghuni rumah kongsi pekerja yang musnah dalam kebakaran pada awal pagi yang sama,” katanya.

Fadil berkata majikan suspek ada memaklumkan polis bahawa lelaki terbabit sudah bekerja selama kira-kira empat tahun di syarikat berkenaan.

Suspek juga direhatkan oleh majikannya kerana lelaki terbabit dikesan menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau berkelakuan mencurigakan seminggu sebelum kejadian.

“Terdahulu, polis menerima aduan daripada seorang wanita pada jam 4.32 pagi bahawa berlaku kebakaran di kawasan perkampungan Kongsi 8, Batu 5 Jalan Apas.

“Terdapat tiga premis yang dilaporkan musnah terbakar melibatkan rumah kongsi pekerja (12 pintu), pejabat dan gudang simpanan kayu syarikat terbabit,” katanya.

Fadil berkata penahanan suspek dibuat mengikut Seksyen 436/ 379 Kanun Keseksaan, manakala perintah tahanan reman akan dipohon di mahkamah pada hari ini (Selasa).

  • oleh
  • Advertisement