Anda di sini

Tuchel mungkin akan lakukan ‘Pelan D’

Advertisement
 Cavani mengerang kesakitan selepas dikasari oleh pemain Bordeaux  ketika beraksi pada perlawanan Ligue 1 Perancis di Stadium Parc des Princes, Paris Sabtu lepas. — Gambar AFP
CEDERA RINGAN: Cavani mengerang kesakitan selepas dikasari oleh pemain Bordeaux ketika beraksi pada perlawanan Ligue 1 Perancis di Stadium Parc des Princes, Paris Sabtu lepas. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Jurulatih Paris Saint Germain (PSG), Thomas Tuchel, mengakui beliau mungkin melakukan ‘Pelan D’ untuk perlawanan penting Liga Juara-Juara menentang Manchester United selepas penyerangnya Edinson Cavani, mengalami kecederaan ringan Sabtu lepas.

Cavani kelihatan mengalami kecederaan di bahagian kaki ketika melakukan tendangan penalti, tiga minit sebelum rehat untuk membolehkan PSG menang 1-0 ke atas Bordeaux di Parc des Princes dalam aksi Ligue 1 Perancis.

Rakaman televisyen menunjukkan penyerang antarabangsa Uruguay itu mengeluh kesakitan dan meminta untuk dikeluarkan. Beliau meninggalkan padang tidak lama selepas itu dan diganti dengan Kylian Mbappe pada masa rehat.

Kehilangan Cavani, penjaring terbanyak PSG dan sudah menjaringkan 22 gol musim ini, pastinya satu lagi kerugian besar buat PSG menjelang perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester United di Old Trafford.

“Saya tidak tahu jika beliau boleh bermain. Beliau merasai kesakitan otot selepas melakukan sepakan penalti itu,” kata Tuchel.

“Kami perlu melakukan satu lagi pemeriksaan untuk mengetahui masalah sebenarnya.”

PSG sudah kehilangan Neymar untuk perlawanan menentang Neymar, yang hanya dijangka kembali beraksi pada awal bulan April selepas mengalami kecederaan retak tulang tapak kaki.

Beliau ada menyaksikan perlawanan Sabtu lepas, di mana Marco Verratti membuat penampilan sulung selepas tiga minggu berehat kerana kecederaan.

“Ia terlalu teruk. Pemain berkualiti ini mampu menentukan perlawanan. Tidak semua orang boleh bermain seperti mereka dalam Liga Juara-Juara. Kami tidak mempunyai ‘Edi’ (Cavani) kedua,” kata Tuchel tetapi kemudian menegaskan beliau mempunyai penyelesaian jika diperlukan.

“Kami mempunyai banyak pelan sokongan. Tanpa Neymar, atau Marco atau mungkin Edi tetapi kami mempunyai Pelan D.

“Kami harus menganalisa permainan Manchester United dan tidak terlalu cemas. Jika dua atau tiga pemain utama tidak dapat beraksi, ia adalah tanggungjawab kami untuk mencari penyelesaian.

“Ia sangat sukar dan jika kehilangan beberapa pemain, cabarannya lebih besar. Tetapi kami akan bersedia untuk Selasa (menentang United) ini.”

Namun kemenangan sekurang-kurangnya mengembalikan keyakinan PSG, yang tewas 1-2 di Lyon, kekalahan liga yang pertama mereka musim ini.

Mereka bagaimanapun masih memiliki kelebihan 13 mata di singahsana liga dengan kurang satu perlawanan berbanding pencabar terdekat, Lille, yang bermain lewat menentang Guingamp.

Dengan jurang mata yang besar, Tuchel mungkin mampu merehatkan beberapa pemain utama dengan perhatian lebih penting kepada Liga Juara-Juara.

Kerana itu, Mbappe bermula di bangku simpanan sementara Angel di Maria, Marquinhos, Juan Bernat, Thilo Kehrer dan Julian Draxler – yang dijangka akan diturunkan menentang United – tidak langsung berada dalam senarai pasukan perlawanan.

Di seluruh Perancis, tepukan hormat seminit dilakukan sebelum perlawanan bagi menghormati Emiliano Sala, dan bekas kelabnya, Nantes akan memakai jersi hitam sebagai tanda perkabungan ketika menentang Nimes.

Strasbourg tewas 1- 2 kepada Angers sementara Amiens menewaskan Caen 1-0 untuk memintas Monaco dan keluar dari zon penyingkiran.

Mario Balotelli dan Lucas Ocampos membantu Marseille menewaskan Dijon 2-0 pada perlawanan hari Jumaat. — AFP

Advertisement