Anda di sini

Tidak adil tuduh kerajaan negeri tidak bantu tahanan Sarawak di Kemboja 

Advertisement
 

KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol (gambar) membidas tuduhan ramai bahawa kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa untuk membantu tahanan Sarawak di Kemboja. 

Tegas Abdullah, kerajaan negeri hanya dimaklumkan akan perkara ini baru-baru ini meskipun makluman penahanan diterima secara lisan oleh Kementerian Luar pada 28 Disember lalu. 

“Sepanjang Januari ini, kerajaan negeri tidak dimaklumkan akan perkara ini sehinggalah satu kenyataan dikeluarkan oleh Wisma Putra pada 7 Februari lepas. 

“Jadi tidak adil untuk mana-mana pihak menuduh kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa kerana kita hanya dimaklumkan baru-baru ini. 

“Dan secepat itu juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengarahkan menteri dan pegawai yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat. 

“Anda perlu faham ini adalah urusan antara negara dengan sebuah negara, jadi kita banyak bergantung kepada maklumat dan maklum balas dari Kementerian Luar Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Penview (PCC) Demak hari ini selepas Majlis Amanat Perdana Integriti (MAPI) 2019. 

Tambah Abdullah, kerajaan tidak mengabaikan kesusahan yang sedang dilalui oleh tahanan negara di Kemboja ketika ini sebaliknya, serius untuk membantu kerana sebahagian besar yang ditahan adalah rakyat Sarawak. 

Malah katanya, beliau difahamkan kerajaan negeri bersetuju untuk menghantar wakil ke Kemboja bagi melawat tahanan Sarawak di sana. 

“Jika saya tidak silap, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menghantar wakil ke Kemboja tetapi saya tidak pasti sama ada anda telah dimaklumkan atau tunggu selepas taklimat nanti. 

Sementara itu (Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak) Dato Sri Fatimah (Abdullah) akan berjumpa keluarga-keluarga tahanan,” katanya. 

Tambah Abdullah apa yang berlaku di Kemboja amat malang dan berharap insiden itu tidak berulang.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini supaya lebih berhati-hati ini dengan sindiket penipuan yang menawarkan kerja-kerja kepada orang ramai di luar negara. 

  • oleh
  • Advertisement