Anda di sini

Tentera tidak merancang membina pos kawalan sempadan di Danau Melikin

Advertisement
Zulkifli (depan, tengah) Zamrose (depan, enam kiri), Toh (depan, lapan kiri) serta pegawai-pegawai kanan ATM merakamkan gambar bersama anggota medan timur tentera darat sempena lawatan ulungnya ke Kem Muara Tuang di sini, hari ini.

KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak merancang untuk membina pos kawalan sempadan termasuk penambahan anggota di Kampung Danau Melikin, walaupun berlaku pencerobohan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) ke sempadan negara di situ serta tercetusnya insiden penahanan penduduk kampung oleh anggota TNI. 

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin berkata kaedah terbaik yang dilakukan tentera kedua-dua negara adalah menjalin kerjasama melalui pos terkoordinat, iaitu melibatkan koordinasi antara kedua-dua pihak dalam menjaga kawalan sempadan di situ sekali gus menangani isu yang timbul.

“Dari segi perundangan, jika berlaku perlanggaran sempadan negara maka ia adalah satu kesalahan. Baik dalam kalangan anggota tentera Malaysia dan Indonesia yang hendak masuk ke sempadan jiran masing-masing juga harus mendapatkan kebenaran.

“Namun untuk membina pos kawalan sempadan, kita kena faham dari segi faktor ekonomi di mana kalau kita buat pos di situ, Indonesia juga harus membuat pos mereka agar kita dapat saling koordinat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Makan Tengah Hari sempena lawatan ulungnya ke Kem Muara Tuang di sini, hari ini yang turut diiringi Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose dan Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato Toh Choong Siang.

Pada masa sama, Zulkifli berkata insiden membabitkan anggota TNI di sempadan Danau Melikin juga dibincangkan antara ATM dan TNI di bawah Jawatankuasa Bersama.

Katanya, perbincangan dalam Jawatankuasa Bersama itu diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun, di mana di pihak ATM diwakili oleh Panglima 1 Divisyen.

“Kita kena faham, kedua-dua negara mengalami masalah yang sama, jadi jalan terbaik adalah sentiasa berbincang di mana perkara yang melanggar peraturan, kita kena ambil tindakan dan begitu juga di pihak Indonesia.

“Oleh itu, perbincangan secara rasional ini sangat penting supaya situasi menang-menang berlaku...kita tidak boleh kekitaan sangat.

“Insiden itu (penahanan penduduk Kampung Danau Melikin oleh anggota TNI) memang berlaku dan Indonesia juga mengakuinya, di mana kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra juga telah menghantar nota bantahan dan kita serahkan kepada TNI sendiri untuk menyelesaikan masalah membabitkan anggota mereka sendiri,” katanya.

Kampung Danau Melikin berhampiran Wong Rangkai, Balai Ringin, di sini yang hanya 400 meter dari sempadan Sarawak - Kalimantan Barat dipercayai menjadi ‘lubuk’ TNI untuk mengugut penduduk kampung yang menjalankan aktiviti pembalakan dan pertanian di kawasan itu.

Tentera negara jiran yang memiliki pos kawalan sempadan berhampiran kampung berkenaan juga didakwa sering keluar masuk membeli barangan keperluan di kedai runcit berhampiran perkampungan itu.

Malah dalam kejadian 11 Disember tahun lalu kira-kira pukul 10 pagi, lima penduduk kampung berusia antara 15 hingga 64 tahun ditahan anggota TNI kerana didakwa mencuri hasil kayu di kawasan Indonesia.

Bagi membebaskan mereka, anggota TNI dikatakan meminta wang tunai RM10,000 bersama mesin gergaji balak, selain menahan sebuah pikap digunakan untuk mengangkut kayu.

  • oleh
  • Advertisement