Anda di sini

Semporna bakal bangun bandar terapung

Advertisement
SHAFIE (tengah) bersalaman dengan Eric, turut kelihatan Jaujan (kiri).
SHAFIE (tengah) bersalaman dengan Eric, turut kelihatan Jaujan (kiri).

KOTA KINABALU: Daerah Semporna bakal mempunyai satu bandar terapung bagi menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, bandar terapung itu sekali gus dijadikan alternatif kepada para pelancong yang datang ke daerah itu khususnya mereka yang mengunjungi pulau-pulau di sekitarnya.

"Sekiranya rancangan ini dapat direalisasikan, ia akan menjadikan Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

"Konsep pembangunan yang dilakukan adalah lebih kepada menjaga alam sekitar dari segi hidupan laut dan terumbu karang yang sedia ada.

"Sejumlah keluasan 300 ekar tanah kerajaan di pesisir pantai akan dibangunkan untuk taman tema air," katanya dalam sidang media selepas mengadakan taklimat Pembangunan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini hari ini.

Beliau berkata, konsep digunakan adalah tidak menimbus laut sebaliknya menggunakan tiang dan teknologi berkaitan seterusnya menjadikan pendekatan yang digunakan itu adalah pertama di negara ini.

Katanya, Syarikat Kumpulan Hatten Sdn Bhd bertanggungjawab membangunkan pelan perancangan itu yang dijangka mampu direalisasikan dalam tempoh 15 tahun.

"Sekiranya semua agensi kerajaan yang berkaitan dapat memberikan kerjasama penuh, saya yakin perkara ini mampu direalisasikan dalam tempoh kurang daripada 15 tahun.

"Bandar terapung yang akan dibina di pesisiran pantai Semporna akan dilengkapkan dengan kemudahan seperti hotel, restoran, taman tema air serta pelbagai lagi," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menjelaskan perjumpaan kali ini tidak membincangkan jumlah pelaburan yang akan dilaburkan, sebaliknya membincangkan cara konsep pembinaan.

Katanya, perkara yang penting pembangunan yang dilakukan nanti perlu teratur dan syarikat berkenaan perlu memperhalusi lagi rancangan itu.

"Ketua Menteri berharap pembangunan ini dapat dipercepatkan...pembangunan seumpamanya tidak hanya tertumpu di Semporna memandangkan hala tuju pembangunan setiap daerah juga sudah dilancarkan baru-baru ini.

"Kerajaan akan membangunkan semua daerah dengan konsep seumpamanya yang lebih menekankan landskap sedia ada di kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Hatten Group Sdn Bhd Datuk Wira Eric Tan Eng Huat berkata, pihaknya merancang membina sekurang-kurangnya 10,000 bilik hotel di Semporna.

Katanya, jumlah bilik itu sudah pasti mampu membawa masuk sekurang-kurangnya empat sehingga lima juta pelancong ke daerah berkenaan setahun.

  • oleh
  • Advertisement