Anda di sini

SABERKAS terus perkasa golongan belia

Advertisement
Sharifah Hasidah bersama exco dan belia SABERKAS memotong kek malam Ahad


KUCHING: Peranan dan sumbangan golongan belia dalam meneruskan usaha membangunkan masyarakat dan negara amat penting, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurutnya, sebagai generasi pelapis yang berwawasan demi masa depan pembangunan lebih pesat, golongan belia turut diberi amanah untuk memikul tanggungjawab bagi meneruskan kesinambungan menjulang martabat bangsa, negeri Sarawak dan Malaysia amnya.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) turut menyatakan penubuhan SABERKAS adalah untuk memastikan nasib belia di Sarawak terus dibela.

"SABERKAS adalah satu badan yang diiktiraf kerajaan negeri yang ditubuh khusus untuk golongan belia di mana setiap ahli SABERKAS adalah pemimpin dan sebagai pemimpin kita perlu menghayati dan berusaha memperkasakan golongan belia yang berketerampilan dan dihormati,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan SABERKAS Samariang di sini malam Ahad.

Sharifah Hasidah merakam kenangan bersama hadirin

Beliau yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Samariang berkata tidak dapat menafikan yang masalah sosial melibatkan golongan belia mulai menular ke semua kawasan termasuk kawasan Samariang. 

"Apa yang boleh kita buat adalah dengan berusaha meminimumkannya atau terus membanteras dengan memperbanyakkan program yang melibatkan penyertaan anak muda dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti sihat dalam kalangan remaja atau belia kita. 

“Ini kerana penglibatan belia penting agar masa mereka yang terluang diisikan dengan perkara berfaedah,” tegasnya.

 

Pada masa sama, Sharifah Hasidah menggalakkan penglibatan semua belia dalam setiap aktiviti anjuran SABERKAS selaras dengan matlamat asal penubuhan untuk menyediakan pelbagai program dan aktiviti berguna kepada golongan belia pelbagai kaum di Sarawak.

Katanya, langkah itu juga akan dapat melahirkan belia yang berjaya dalam pelbagai bidang dan kemahiran sekali gus membantu membangunkan negeri Sarawak.

 Beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM20,000 kepada SABERKAS Cawangan Samariang bagi menjalankan aktiviti-aktiviti.

 

Majlis turut menyaksikan pelbagai persembahan khas dan pertandingan hebat daripada bakat-bakat belia SABERKAS Samariang. 

Hadir sama, Setiausaha SABERKAS Negeri Iszuan Haroni, exco dan para belia daripada setiap unit SABERKAS Samariang.

 
 
  • oleh
  • Advertisement