Anda di sini

Rumah terbakar di Kampung Astana Lot, lima penghuni selamat

Pasukan bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran
Pasukan bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran

KUCHING: Sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar dalam satu kejadian di Kampung Astana Lot, Jalan Astana di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan Padungan dikerahkan ke lokasi kejadian susulan menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.18 tengah hari.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah rumah yang telah terbakar 90 peratus.

“Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan kecederaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, rumah tersebut didiami lima orang yang terdiri tiga wanita dan dua lelaki.

“Operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada pukul 1.28 tengah hari dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Turut hadir di lokasi kejadian ialah anggota polis dan kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB).