Anda di sini

Polis berkas enam lelaki suspek kes samun

BARANGAN yang dirampas daripada suspek kes samun berkenaan.
BARANGAN yang dirampas daripada suspek kes samun berkenaan.

KOTA KINABALU: Enam lelaki suspek kes samun berkawan yang berlaku pada 7 Februari lepas akhirnya berjaya diberkas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di Kampung Darau Lama Manggatal di sini, seorang lelaki mengalami kecederaan di belakang kepala akibat dipukul suspek.

Katanya, suspek turut merampas wang tunai kira-kira RM8,000 dan telefon bimbit milik mangsa.

"Kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun dan suspek pertama ditangkap pada jam 10.30 malam pada hari sama kejadian di kawasan Manggatal.

"Dalam dua serbuan susulan yang dibuat pada awal pagi 8 Februari lepas, polis berjaya memberkas lima lagi suspek di kawasan Kampung Darau dipercayai terlibat dalam kes samun berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa didatangi beberapa lelaki yang bertindak memukulnya hingga terkoyak di bahagian belakang kepala sepanjang enam sentimeter.

Menurutnya, pukulan terbabit menyebabkan mangsa pengsan dan tidak mengingati apa yang berlaku.

George berkata, sebaik tersedar mangsa meminta bantuan orang kampung dan kini mangsa masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Beberapa barangan dirampas dalam serbuan itu antaranya tujuh telefon bimbit, wang tunai, sebuah motosikal dan dua beg silang.

"Kesemua suspek didapati positif dadah dan ditahan reman sehingga 14 Februari 2019 (reman pertama).

"Empat daripada suspek turut memiliki rekod kesalahan lampau dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan," jelasnya.