Anda di sini

Mendiang Andrew sertai kumpulan 4x4, keletihan bila balik, kata Soon Koh

Advertisement
Soon Koh (kiri) serta isteri, Leong ketika ditemui pemberita di kediaman hari ini.

SIBU: Bekas Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Dato Andrew Wong Kee Yew sempat mengikuti bersama kumpulan kenderaan pacuan empat roda (4x4) ke Rumah Uka, Tutus, Batang Igan pada Ahad. 

Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Dato Sri Wong Soon Koh, anak lelaki tunggalnya itu yang keletihan selepas tiba di rumah, terus masuk ke bilik tidur. 

"Untuk sampai ke rumah panjang tersebut mereka menggunakan jet ski selama sejam dan sejam untuk perjalanan pulang. 

"Pada sebelah petang apabila tiba di rumah, beliau sudah keletihan dan terus masuk ke bilik tidur," katanya apabila ditemui pemberita di kediamannya di Jalan Ipoh di sini hari ini.

Pada sebelah malam, isteri Wong, Datin Sri Pauline Leong  memeriksa Andrew di bilik tidurnya selepas tidak menyahut panggilan untuk turun makan malam. 

"Sebaik sahaja isteri saya membuka pintu, beliau mendapati Andrew terbaring di atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

" Berikutan itu, doktor dipanggil ke kediaman untuk memeriksa keadaannya, namun disahkan meninggal dunia sekitar 11 malam," katanya. 

Wong semasa kejadian berada di Kuching dan hanya tiba di Sibu pagi tadi.

Andrew meninggalkan seorang balu dan dua anak, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, beliau mewakili Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen Sibu namun gagal merampasnya dari penyandang, Oscar Ling Chai Yew dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menang dengan majoriti 11,422 undi. 

Manakala dua lagi calon pencabarnya, Simon Tiong Ing Tung dari Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Jamie Tiew Yen Houng Sarawak Peace Party (SPP), hilang deposit.
 

  • oleh
  • Advertisement