Anda di sini

Liverpool kembali ungguli puncak Liga Perdana Inggeris

Advertisement
 Salah (dua kanan) melepaskan rembatan melepasi pemain Bournemouth ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool pada Sabtu lepas. — Gambar AFP
TIADA TANDINGAN: Salah (dua kanan) melepaskan rembatan melepasi pemain Bournemouth ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield, Liverpool pada Sabtu lepas. — Gambar AFP

LONDON, England: Liverpool kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris sementara Manchester United naik ke tangga keempat ketika bola sepak Inggeris memberikan penghormatan kepada mendiang Emiliano Sala Sabtu lepas.

Gol dalam separuh masa pertama dari Sadio Mane dan Georginio Wijnaldum, bersama-sama gol Mohamed salah pada minit ke-48 membolehkan Liverpool menewaskan Bournemouth 3-0 di Anfield.

Kemenangan bermakna Liverpool, yang berada di tangga kedua dengan perbezaan gol sebelum sepak mula perlawanan, memintas Manchester City dengan kelebihan tiga mata menjelang perlawanan lewat City menentang Chelsea.

Kebangkitan United di bawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer, diteruskan apabila mudah menewaskan kelab tercorot, Fulham 3-0.

Liverpool tercicir empat mata ketika seri 1-1 ketika menentang Leicester City dan West Ham pada dua perlawanan terakhir, menyebabkan cadangan di mana mereka gagal mengawal debaran dalam usaha menamatkan kemarau 29 tahun untuk muncul juara liga sekali lagi.

Bagaimanapun, Mane menamatkan tekanan itu dengan menjaringkan gol awal di Anfield sebelum Wijnaldum menambah jaringan pada minit ke-34 dan Salah melengkapkan jaringan selepas rehat.

“Kami tahu kami tidak gembira dengan prestasi kami dari dua atau tiga perlawanan yang lalu,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. “Kami mahu bermain dengan bola sepak yang meyakinkan seperti yang biasa kami lakukan.”

Di London, Paul Pogba menjaringkan dua gol – termasuk satu penalti dalam separuh masa kedua – di antara gol Anthony Martial ketika United mencipta kemenangan ke-10 dari 11 perlawanan sejak Solskjaer membimbing kelab buat sementara.

Chelsea boleh merampas kembali tangga keempat liga jika menewaskan Manchester City.

Tetapi United, ketinggalan 11 mata dari tangga keempat liga apabila Jose Mourinho dipecat pada bulan Disember, kini kembali bersaing.

“Masih ada banyak lagi perlawanan tetapi kami berharap untuk terus berada dalam empat tangga teratas,” kata Solskjaer.

Arsenal menambah keresahan di Huddersfield apabila menang 2-1 di gelanggang lawan.

Alex Iwobi dan Alexandre Lacazette meletakkan Arsenal 2-0 sebelum rehat dengan gol sendiri Sead Kolasinac pada lewat permainan mencemaskan sedikit Arsenal tetapi mereka akhirnya berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat.

Pada perlawanan lain, tekanan semakin meningkat ke atas pengurus Everton, Marco Silva apabila tewas 0-1 di bekas kelabnya, Watford menerusi gol Andre Gray.

Kekalahan Everton diburukkan lagi dengan penyingkiran Kurt Zouma selepas tamat permainan kerana membuat aduan keterlaluan kepada pengadil perlawanan, Lee Probert.

Satu minggu penuh emosi buat Cardiff berakhir dengan kemenangan 2-1 di Southampton, sekali gus menyaksikan mereka melangkah keluar dari zon penyingkiran, beberapa hari selepas kematian pemain yang sepatutnya tiba pada pasaran perpindahan pemain bulan lepas, telah disahkan berikutan penemuan mayat dari satu kemalangan kapal terbang di Terusan Inggeris.

Mayat Sala telah dikenal pasti oleh koroner Inggeris Khamis lepas, sehari selepas bangkai pesawat ditemui di dasar terusan.

Cardiff memakai jersi khas dengan warna kuning, simbol negara Wales dan warna pasukan kelab dari Perancis, Nantes, bekas kelab Sala, dengan tafakur seminit dilakukan sebelum sepak mula.

Kapten Cardiff, Sol Bamba meletakkan Cardiff di hadapan tetapi Jack Stephens mengikat kedudukan pada minit akhir permainan.

Namun masih ada masa untuk Kenneth Zohore menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 perlawanan di St Mary.

“Ia merupakan beberapa minggu yang sukar,” kata Bamba. “Saya tahu Emiliano Sala melihat dari atas sana, jadi ia menarik untuk mendapat tiga mata penuh.”

Kemenangan Cardiff menyebabkan Burnley jatuh ke dalam zon penyingkiran tetapi mereka keluar sekali lagi dengan kelebihan tiga mata selepas menewaskan Brighton 3-1. — AFP

Advertisement