Anda di sini

Lebih 20 syarikat tempatan akan dipanggil melabur di Sabah

Advertisement
 Mohd Shafie menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Sekolah Menengah Tinggi Cina anjuran DAP Sri Tanjung, kelmarin. — Gambar Bernama
BERJIWA RAKYAT: Mohd Shafie menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Sekolah Menengah Tinggi Cina anjuran DAP Sri Tanjung, kelmarin. — Gambar Bernama

TAWAU: Lebih 20 syarikat tempatan Sabah yang berdaftar di Bursa Malaysia akan dipanggil membincangkan pelaburan bagi pembangunan negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, langkah itu bertujuan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk anak-anak Sabah selain memastikan syarikat terbabit turut menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya akan panggil satu-satu (syarikat terbabit) bagi memastikan mereka ini dapat melabur di peringkat negeri...jangan hanya daftar di peringkat negeri sahaja tetapi tidak memberi (sumbangan) pulangan kepada penduduk.

“Saya yakin (ini dapat dilaksanakan) dan sudah mulakannya dengan tauke Hap Seng (Pengerusi Hap Seng Consolidated, Tan Sri CK Lau) dan saya minta beliau supaya melabur di sini. Beliau beritahu akan melabur RM1 bilion di Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di di sini, kelmarin.

Rumah terbuka anjuran Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong itu turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong selain lebih 1,000 penduduk.

Selain itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan mengambil langkah bagi kemudahan pelabur termasuk mempercepatkan proses permohonan berkaitan.

“Jangan banyak sangat karenah birokrasi dalam hal memberi kelulusan. Kita beri kelulusan ini bukan untuk bangunkan negeri tetapi juga pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan langkah ini perlu direalisasikan,” katanya.

Mohd Shafie turut menegaskan bahawa beliau mahukan pembangunan yang seimbang di Sabah dan tidak hanya tertumpu di daerah tertentu.

Beliau juga menyedari cabaran yang perlu dilalui bagi membangunkan Sabah dan menegaskan pemimpin bertanggungjawab akan menyelesaikan dan bukannya mengelak masalah. — Bernama

Advertisement