Anda di sini

Lapor JTK, dapatkan dokumen sebelum ke luar negara

 Zunita tidak dapat menahan air matanya semasa bercakap mengenai anaknya, Yusuf, salah seorang mangsa tahanan di sebuah penjara di Kemboja pada sidang media di kediamannya di Taman Long Seng di Kuching, semalam. Turut kelihatan Hafsah (tiga kiri) bersama enam ahli keluarga mangsa tahanan di Kemboja. — Gambar Muhd Rais Sanusi.
SEBAK: Zunita tidak dapat menahan air matanya semasa bercakap mengenai anaknya, Yusuf, salah seorang mangsa tahanan di sebuah penjara di Kemboja pada sidang media di kediamannya di Taman Long Seng di Kuching, semalam. Turut kelihatan Hafsah (tiga kiri) bersama enam ahli keluarga mangsa tahanan di Kemboja. — Gambar Muhd Rais Sanusi.

KUCHING: Rakyat Sarawak yang mahu bekerja di luar Malaysia dinasihati agar melaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak dan mendapatkan dokumen yang diperlukan sebelum pergi ke luar negara.

Demikian nasihat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sarawak Datuk Seri Hafsah Harun berhubung insiden 47 warga Malaysia yang ditahan di sebuah penjara di Kemboja selepas disyaki terlibat dalam permainan perjudian dalam talian secara haram baru-baru ini.

Katanya, rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan percubaan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di luar negara.

“Laporkan kepada JTK sekiranya anda mahu bekerja di luar negara kerana ini akan membantu anda daripada menjadi mangsa kepada mana-mana sindiket,” katanya sambil memohon agar belia  mendapatkan lebih banyak maklumat dan selidiki syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada mereka terlebih dahulu.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama  enam ahli keluarga mangsa tahanan oleh pihak berkuasa di Kemboja pada sidang media di sini, semalam

Sementara itu, ibu kepada Yusuf Islam Abdul Halik (salah seorang mangsa tahanan) iaitu Zunita Sedini, 42, berkata, anaknya itu memberitahu bahawa dia ditawarkan bekerja menjual produk elektrik di Kemboja pada mulanya.

Oleh itu katanya, dia tidak tahu bagaimana Yusuf, 21, akhirnya dipenjara sedangkan dia pergi dengan niat untuk mendapatkan taraf hidup yang lebih baik di negara asing.

“Yusuf seorang anak yang berdikari. Apabila dia memaklumkan dia mahu bekerja di Kemboja, saya mengizinkan kerana mahu dia berjaya. Setibanya di Kuala Lumpur dan Kemboja, dia ada menghubungi saya.

“Kali terakhir saya menerima panggilan telefon daripada Yusuf adalah pada 9 Disember tahun lalu, untuk memaklumkan dia baik sahaja,” katanya

Zunita berkata, selepas itu dia menyedari ada sesuatu tidak kena berlaku apabila dia tidak dapat menghubungi anaknya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan telefon (nombor yang bukan dari sini), daripada Yusuf yang meminta tolong.

“Mak, tolong saya. Saya dan rakan-rakan ditahan. Tolong kami mak,” katanya sambil memberitahu dia tidak tahu kenapa anak sulungnya itu ditahan dan terus memberitahu suaminya tentang perkara itu.

Ibu kepada enam orang anak itu berkata, seorang sahabat terdekat keluarganya berjaya masuk ke penjara Kemboja dan meletakkan Yusuf dalam panggilan video beberapa kali.

“Itulah di mana saya mendapat tahu Yusuf serta tahanan lain berada dalam keadaan selamat... dan kini kami masih menunggu Kerajaan Malaysia  menyelamatkan kesemua mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sarawak kerana sehingga kini terus memberi bantuan dan sokongan untuk menyelamatkan kesemua anak muda yang ditahan di Kemboja.