Anda di sini

Korban runtuhan di Turki cecah 21 orang

Advertisement
 Erdogan dan para pegawainya melawat tempat kejadian runtuhan bangunan pangsapuri di Istanbul, kelmarin. — Gambar Reuters
TURUN PADANG: Erdogan dan para pegawainya melawat tempat kejadian runtuhan bangunan pangsapuri di Istanbul, kelmarin. — Gambar Reuters

ISTANBUL: Angka kematian dalam runtuhan sebuah bangunan pangsapuri di Istanbul meningkat kepada 21 orang kelmarin, ketika Presiden Recep Tayyip Erdogan menyatakan pihak berkuasa mendapat pengajaran daripada insiden itu.

Blok lapan tingkat di daerah Kartal di bahagian Asia bandar tersebut roboh Rabu lepas namun puncanya masih belum jelas.

Erdogan yang melawat kawasan itu kelmarin menyatakan: “Kami mempunyai begitu banyak pengajaran untuk dipelajari dari kejadian ini. Kami akan mengambil langkah-langkah yang perlu.”

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu pula memberitahu wartawan bahawa angka kematian runtuhan bangunan itu meningkat kepada 21 kematian dan 14 kecederaan.

Ia merupakan kali ketiga angka kematian dimaklumkan sepanjang hari tersebut.

“Kami menganggarkan terdapat 35 orang yang terperangkap di bawah runtuhan dan kami sekarang mengira untuk 35,” kata beliau ketika menegaskan bahawa operasi mencari akan diteruskan seperti sebelum ini.

Beberapa anggota penyelamat bertugas di kawasan itu dengan kren mengangkat blok konkrit yang besar bagi membersihkan kawasan runtuhan.

Presiden Erdogan turut melawat hospital untuk bercakap dengan mangsa yang terselamat, sebelum menghadiri upacara pengebumian sembilan sekeluarga yang kehilangan nyawa mereka dalam kemalangan tersebut.

Pihak berkuasa Turki menyatakan 43 didaftarkan sebagai menetap di dalam bangunan itu.

Menteri Alam Sekitar Murat Kurum, yang menemani Erdogan, menyatakan blok tersebut menempatkan 14 pangsapuri dan tiga kedai.

Media Turki menyatakan tiga daripada lapan tingkat bangunan itu telah dibina secara haram, amalan biasa di bandar yang mempunyai kira-kira 15 juta penduduk itu.

Kejadian itu mencetuskan kritikan terhadap pengampunan kerajaan yang diberikan tahun lepas terhadap orang dituduh atas pembinaan haram dalam langkah yang diumumkan sebelum pilihan raya perbandaran pada Mac ini.

Para jurutera dan arkitek sering memaklumkan bantahan terhadap tingkat tambahan secara haram pada bangunan yang menurut mereka melemahkan struktur pembinaan dan meletakkannya dalam risiko yang amat besar ketika berlakunya gempa bumi.

Sebuah struktur empat tingkat di Istanbul roboh pada tahun lepas selepas hujan ribut yang sangat kuat.

Pada Januari 2017, dua mati ketika sebuah bangunan lain runtuh di bahagian buruh bandar tersebut. — AFP

Advertisement