Anda di sini

Cadangan 40 peratus belia dilantik sebagai MPKK, KK disambut baik

ELVENSON menyampaikan cendera kenangan kepada Masiung.
ELVENSON menyampaikan cendera kenangan kepada Masiung.

TONGOD: Cadangan menetapkan 40 peratus golongan belia dilantik sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ketua kampung (KK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut disambut baik Gabungan Belia Wawasan Daerah Tongod.

Yang Dipertuanya Elvenson Henly Jumali berkata, ia kerana pelantikan MPKK dalam kalangan belia khususnya dalam DUN Kuamut dilihat mampu menyuarakan idea bernas sekali gus merancakkan aktiviti serta pembangunan di kawasan itu.

Menurutnya, sebelum perubahan kerajaan, jawatan itu yang dikenali sebagai Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) lebih fokus kepada pemimpin berusia.

"Bukan bermaksud pemimpin berusia tidak mampu melaksanakan aktiviti atau merancakkan pembangunan, namun saya yakin melalui penyertaan belia dalam MPKK akan merancakkan pembangunan serta pelaksanaan aktiviti dengan melibatkan semua penduduk tanpa mengira usia, kaum dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Santai Belia Daerah Tongod Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah di Dewan Kampung Semundoh, di sini.

Elvenson berkata, ramai belia masa kini mempunyai sifat kepimpinan yang bukan sahaja boleh melaksanakan tugas dengan baik malah turut disegani oleh masyarakat ekoran sifat kepimpinan yang ada pada belia itu sendiri.

"Mengambil contoh, pewujudan Majlis Belia Sabah oleh kerajaan itu sendiri antara lain bertujuan melahirkan belia berwawasan agar mempunyai sifat kepimpinan untuk memimpin satu-satu badan institusi atau persatuan. Justeru, mereka inilah perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai MPKK," jelasnya.

Beliau yang juga antara golongan belia termuda yang dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Tongod berkata, ketika ini Ahli Majlis Daerah Tongod diwakili enam belia dari kawasan itu.

Jelasnya, pelantikan belia sebagai Ahli Majlis Daerah Tongod adalah bukti belia mampu melaksanakan tugas khususnya membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

Mengulas program Santai Belia Daerah Tongod bersama Adun Kuamut, beliau berkata ia antara usaha gabungan persatuan belia di daerah itu untuk mendekati kepimpinan kerajaan bagi membolehkan belia mendapatkan penjelasan mengenai aspirasi kerajaan masa kini dalam melaksanakan dasar atau pembangunan.

"Dengan pelaksanaan program sebegini juga kami diberi peluang untuk mendengar penjelasan daripada kepimpinan kerajaan khususnya mengenai isu semasa serta dasar politik negara agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang berita yang dimuat naik ke dalam media sosial yang belum dapat dipastikan kesahihannya," katanya.