Anda di sini

Beri nama palsu kepada polis, wanita dipenjara 16 bulan

 

KOTA KINABALU: Seorang wanita yang tidak memiliki dokumen diri dikenakan penjara 16 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Vitanynary Mary Peter selepas mengaku salah mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Tertuduh sebagai individu yang diperiksa di sisi undang-undang mengenai kesalahan yang dilakukan, memberikan nama palsu kepada seorang polis.

Kesalahan dilakukan pada 27 Oktober tahun lalu jam 8.10 malam di sebuah bilik hotel, Wisma Pendidikan di sini.

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada hari sama tertuduh ditangkap pengadu didalam sebuah bilik dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Sekarang ini tertuduh menjalani hukuman penjara selama tujuh bulan, atas kesalahan pelacuran.

Laporan polis dibuat pemilik sebenar MyKad, berhubung nama dan menafikan pertuduhan terbabit, serta beliau mendapati tertuduh menggunakan identitinya.

Pengadu juga pernah membuat laporan polis pada 9 November 2013 mengenai kehilangan kad pengenalannya.

Hasil siasatan, tertuduh menggunakan MyKad berkenaan untuk urusan harian dan mengaku rakannya memberi kad pengenalan itu pada 2015, dengan mengatakan pemilik kad terbabit sudah meninggal.

Semasa rayuan Vitanynary yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya dikira dari tarikh tangkap.

Mohamad Aizat menyatakan kesalahan yang dilakukan serius dan memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen, setelah tamat tempoh pemenjaraan.