Anda di sini

Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi mengaku tidak bersalah rasuah

Advertisement
 Noor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah berupa wang ringgit RM50,000 serta sebidang tanah bernilai RM180,000  daripada sebuah syarikat pencetakan. — Gambar Bernama
TIDAK MENGAKU SALAH: Noor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah berupa wang ringgit RM50,000 serta sebidang tanah bernilai RM180,000 daripada sebuah syarikat pencetakan. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada sebuah syarikat pencetakan pada 2013 dan 2014.

Bagaimanapun, ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamaruddin Kamsun, tertuduh, 56, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.  

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menerima deposit tunai berjumlah RM50,000 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd melalui akaun Maybank miliknya pada 6 September 2013.

Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Bhd Cawangan Kluang, Jalan Dato Haji Hassan dalam daerah Kluang ketika tertuduh merupakan Anggota Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Bagi pertuduhan kedua pula, Noor Ehsanuddin didakwa menerima sebidang tanah berkeluasan 0.142  hektar bernilai RM180,000 di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi daripada syarikat sama.

Kesalahan dilakukan pada 23 Mac 2014 di Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi, Bangunan Sultan Iskandar, Aras 1, Jalan Lombong di Kota Tinggi ketika beliau masih seorang Ahli Lembaga Pengarah FELDA.

Oleh itu, Noor Ehsanuddin didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu dipenjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil menawarkan ikat jamin sebanyak RM40,000 kepada tertuduh dan dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Hakim turut menetapkan 27 Mac ini untuk kes disebut semula.

Tertuduh diwakili oleh peguam DatukThrichelvam dan Vincent Lawrence.

— Bernama

Advertisement