Anda di sini

BDFA fokus pembangunan bola sepak

 Nelson (kanan) bersama exco lain membincangkan program bakal dilaksanakan untuk kemajuan bola sepak di Betong turut kelihatan Abang Soehardi dan Saiful.
TERAJU BDFA: Nelson (kanan) bersama exco lain membincangkan program bakal dilaksanakan untuk kemajuan bola sepak di Betong turut kelihatan Abang Soehardi dan Saiful.

BETONG: Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA) fokus meneruskan agenda pembangunan bola sepak bagi mengangkat prestasi belia untuk menjadikan Betong sebagai ‘lubuk’ mencungkil bakat baharu sukan bola sepak di negeri ini.

Presidennya, Nelson Kloni Kanang bertekad BDFA melahirkan seramai mungkin pemain meneruskan agenda pembangunan sukan dan memiliki kemahiran tinggi selain berkemampuan individu dapat bersaing peringkat lebih tinggi.

Nelson berkata, beliau percaya dengan adanya penganjuran aktiviti sukan bola sepak dapat mencari pemain-pemain boleh digilap untuk diserapkan dalam pasukan utama negeri sebagai pemain senior, Piala Presiden atau Piala Belia Sarawak.

“Malah, BDFA fokus memainkan peranan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk merancang penganjuran liga tempatan, program pembangunan, klinik bola sepak, kursus pengadilan bola sepak dan sebagainya.

“Selain memberi sokongan moral kepada pemain-pemain kelahiran BDFA menyertai mana-mana kejohanan dan pemilihan peringkat lebih tinggi bagi mencapai hasrat diimpikan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat BDFA sesi 1/2019 di sini kelmarin.

Menurutnya, dengan komitmen dan kerjasama yang sangat baik dari setiap ahli BDFA maka apa juga aktiviti dan program yang dirancang berjaya dilaksanakan.

Tahun lalu, BDFA berjaya menganjurkan kejohanan Liga Betong dan Piala Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) menerima sokongan penuh daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat tempatan memberi sumbangan kewangan bagi membantu pelaksanaannya.

“Kejayaan itu adalah hasil komitmen dan minat diberikan oleh semua ahli yang dilihat masing-masing fokus dengan tanggungjawab diamanahkan.

“Saya percaya dengan kesediaan dan perancangan dilakukan tahun ini pasti berjaya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Pada mesyuarat tersebut, BDFA turut membincangkan penganjuran Liga Daerah bagi mencungkil bakat-bakat baharu kalangan belia di Bahagian Betong.

Selain itu, perancangan pembangunan bola sepak peringkat akar umbi turut dipersetujui dengan mengadakan klinik bola sepak melibatkan murid-murid sekolah.

Turut hadir Timbalan Presiden BDFA, Abang Soehardi Abang Zaini, Setiausaha Kehormat BDFA, Saiful Hanizam Suhaini dan Bendahari BDFA, Saleman Senin.