Anda di sini

Bank digesa longgar prosedur pinjaman perumahan

Advertisement
AHMAD (tiga kiri) dan Susan (tengah) selepas menerima skrol kemakmuran daripada mulut singa.
AHMAD (tiga kiri) dan Susan (tengah) selepas menerima skrol kemakmuran daripada mulut singa.

PAPAR: Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan menggesa pihak bank untuk melonggarkan prosedur pinjaman mereka kepada pembeli rumah.

"Saya harap pihak bank dapat melonggarkan prosedur mereka agar pembeli rumah boleh mendapat pinjaman dengan mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina Pusat Komersil Benoni, di sini pada Ahad.

Ahmad berkata, beliau amat menantikan Pusat Komersil Benoni, iaitu projek yang sedang dilaksanakan oleh Kumpulan WSG dibangunkan sepenuhnya untuk menjadi sebuah bandaraya satelit di negeri ini.

"Sebagai Ahli Parlimen, saya menyokong sepenuhnya pembangunan yang dilaksanakan oleh syarikat ini, diketuai oleh Pengarah Urusannya Datuk Susan Wong Siew Guen dalam usaha membawa kemajuan untuk rakyat di kawasan saya," katanya.

Beliau juga menggesa rakyat agar memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada dalam mencapai objektif dan matlamatnya.

Sementara itu, Susan berkata Pusat Komersil Benoni telah bersedia untuk menjadi pekan makmur yang baharu berikutan lokasi yang stratrgik yang hanya terletak tiga kilometer dari Pekan Papar, berdekatan dengan sekolah menengah Papar serta berdiri indah di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo. Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Ahmad berkata, pembangunan Benoni merangkumi sebanyak 177 unit dua tingkat dan tiga tingkat lot kedai.

Katanya, Fasa 1 dan 2 Pusat Komersil Benoni telah siap dan didiami oleh para peniaga manakala Fasa 3, sebanyak  48 unit lot kedai tiga tingkat, 24 daripadanya telah mendapat sijil menduduki (OC) dan selebihnya 24 unit lagi dijangka memdapat OC menjelang bulan depan.

Susan berkata, bagi Apartmen Taman Benoni pula, ia merangkumi dua menara kediaman berjumlah 230 unit. Setiap daripada 13 tingkat menara itu mempunyai 115 unit.

Katanya, bagi unit yang mempunyai tiga bilik dan dua kamar mandi yang berkeluasan 1,000 kaki persegi, dijual pada harga RM280,000.

Selain itu, Susan juga mengumumkan bahawa syarikat itu akan memberi tawaran khas potongan harga sebanyak 10 peratus ke atas pembelian seunit di Menara A semasa musim Tahun Baharu Cina. Pembeli bumiputera akan menikmati potongan sebanyak 5 peratus lagi.

Di majlis itu, Susan turut menyerahkan kunci kepada pembeli lot kedai Pusat Komersil Benoni.

Turut hadir ialah ibu Susan, Datin Seri Chen Si Mui, Pengarah Kumpulan WSG Datuk Wong Ten An, Jonatah Wong dan Vanessa Wong.

Advertisement