Anda di sini

Bangunan kedai di Kg Paris musnah terbakar

ANGGOTA bomba memastikan api padam sepenuhnya.
ANGGOTA bomba memastikan api padam sepenuhnya.

KINABATANGAN: Sebuah bangunan kedai jenis tidak kekal musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Paris di sini, lewat petang Ahad.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sandakan Anddre Andrew berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 berhubung kejadian itu pada jam 6.16 petang.

Beliau berkata sejurus itu, dua kenderaan FRT masing-masing sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dan BBP Lahad Datu, serta sebuah kenderaan EMRS dari Lahad Datu dikerah ke lokasi.

"Seramai lima anggota bomba diketuai PPgB Azlan Shah, manakala lapan anggota dari BBP Lahad Datu diketuai PBK II Asmori dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kg Paris 2 seramai empat orang terlibat dalam operasi pemadaman terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya agensi lain yang turut terlibat ialah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai dua anggota.

Anddre berkata sebaik tiba pada jam 7.04 malam, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan bangunan kedai jenis tidak kekal dengan keluasan 10x8 kaki terbakar 100 peratus.

"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba," katanya.

Katanya tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala operasi pemadaman terkawal pada jam 7.08 malam dan tamat 7.22 malam.

Bagaimanapun, nilai kerugian sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihaknya.