Anda di sini

Anugerah Oscar tanpa hos buat kali kedua pada 24 Februari ini

Advertisement
 

MAJLIS Oscar pada tahun ini akan diteruskan tanpa hos rasmi buat kali kedua dalam sejarahnya, kata seorang eksekutif televisyen ABC.

Bercakap hanya tiga minggu sahaja sebelum penghormatan tertinggi dalam industri perfileman disampaikan, presiden hiburan ABC Karey Burke berkata acara pada 24 Februari itu akan mengetepikan hos dengan “hanya penyampai yang menjadi hos Anugerah Oscar”.

ABC, sebuah unit dalam Walt Disney Co, menyiarkan majlis Anugerah Oscar menerusi televisyen setiap tahun dan terbabit dalam merancang siarannya.

Pelawak Kevin Hart pada Disember lalu menarik diri daripada menjadi hos Anugerah Oscar selepas tweet homofobia pada masa lalu muncul semula.

Tiada pengganti diumumkan tetapi tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai bagaimana majlis itu akan berlangsung.

Majlis Anugerah Oscar pernah berlangsung tanpa hos hanya sekali sahaja sebelum ini dalam sejarahnya selama 91 tahun, iaitu pada 1989.

Burke berkata keputusan itu diambil selepas apa yang dia sebut sebagai “kekalutan” ekoran pengunduran Hart dan satu cubaan untuk menghidupkan semula peluangnya.

“Selepas itu, ia agak jelas bahawa kita akan kekal di landasan dengan hanya penyampai yang menjadi hos Anugerah Oscar. Semua kami menerima idea itu dengan agak cepat,” kata Burke kepada pemberita di mesyuarat Persatuan Pengkritik Televisyen di bandar pinggir Los Angeles, Pasadena.

Dia berkata ‘Academy of Motion Picture Arts and Sciences’, yang menganjurkan Anugerah oscar, berjanji kepada ABC pada tahun lepas untuk membataskan siaran kepada tiga jam – kira-kira 30 minit lebih pendek berbanding pada beberapa tahun sebelum ini.

“Jadi para penerbit, saya rasa, membuat keputusan dengan bijaksana untuk tidak menggunakan hos dan kembali kepada penyampai dan filem sebagai bintang-bintang,” kata Burke.

 Calon-calon filem terbaik Oscar untuk Anugerah Akademi ke-91 (atas, dari kiri) Chadwick Boseman mewakili ‘Black Panther’, Lady Gaga ‘A Star is Born’, John David Washington ‘BlacKkKlansman’, Christian Bale ‘Vice’, (bawah, dari kiri) Yalitza Aparicio ‘Roma’, Mahershala Ali ‘Green Book’, Rami Malek ‘Bohemain Rhapsody’ dan Olivia Colman ‘The Favourite’.  — Gambar Reuters
OSCAR TANPA HOS: Calon-calon filem terbaik Oscar untuk Anugerah Akademi ke-91 (atas, dari kiri) Chadwick Boseman mewakili ‘Black Panther’, Lady Gaga ‘A Star is Born’, John David Washington ‘BlacKkKlansman’, Christian Bale ‘Vice’, (bawah, dari kiri) Yalitza Aparicio ‘Roma’, Mahershala Ali ‘Green Book’, Rami Malek ‘Bohemain Rhapsody’ dan Olivia Colman ‘The Favourite’. — Gambar Reuters

Hos Anugerah Oscar menurut tradisi membuka majlis dengan monolog lawak yang memberi tumpuan kepada selebriti, keadaan industri perfileman selain isu-isu kebudayaan dan politik.

Dia menambah, spekulasi mengenai keadaan majlis itu adalah tanda yang menggalakkan bahawa Anugerah Oscar masih relevan.

Audiens sudah menurun sejak beberapa tahun lalu dengan majlis pada 2018 yang menarik sekadar 26.5 juta penonton, jumlah paling kecil dalam sejarahnya.

“Saya mendapati keadaan yang tidak jelas di sekitar Anugerah Oscar telah mengekalkan Anugerah Oscar dalam perbualan dan misteri itu benar-benar menarik. Orang sebenarnya mengambil berat,” katanya.

Drama Mexico ‘Roma’ dan komedi sejarah Britain ‘The Favourite’ mendahului pencalonan Oscar masing-masing dengan 10 pencalonan.

Burke berkata tiga calon filem terbaik lain – ‘Black Panther’ terbitan Disney, ‘A Star is Born’ terbitan Warner Bros, dan filem muzikal terbitan 21st Century Fox ‘Bohemian Rhapsody’ – masing-msing mengaut lebih AS$200 juta di ‘box office’ Amerika Utara sahaja.

“Saya rasa kita akan melihat ramai orang datang untuk ini kerana ini adalah filem-filem besar dan popular yang telah dicalonkan,” katanya.

— Reuters

Advertisement