Anda di sini

"Uncle Azra hero kami," - Keluarga tahanan di Kemboja

Advertisement
Zunita sebak ketika mengadakan sidang media di rumahnya hari ini. - Gambar Bernama

KUCHING: “Tolonglah, kamek merayu dengan kitak, tolong cari anak kamek dan budak-budak yang lain (Tolonglah, saya merayu pada awak, tolong cari anak saya dan budak-budak yang lain).”

Demikian rayuan Zunita Sedini, 45 kepada sahabatnya yang hanya dikenali sebagai Mohd Azra atau dipanggil “Uncle Azra” agar mencari anaknya Yusuf Islam, 21 di Kemboja.

Berkongsi rentetan penemuan anaknya serta 46 lagi rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Kemboja kepada pemberita di rumahnya di Petra Jaya, di sini hari ini, Zunita berkata Uncle Azra adalah hero mereka.

“Beliau pergi seorang diri untuk mencari Yusuf. Bila sampai di sana beliau berusaha mencari di beberapa lokasi namun tidak menemui sebarang bukti dan terpaksa kembali ke Malaysia.

“Setiap hari saya menangis dan berdoa akan keselamatan anak. Azra kemudian pergi semula ke Kemboja dan kali ini beliau menerima panggilan daripada Yusuf yang memberitahu mereka berada di satu lokasi dikenali sebagai ‘BMC’,” katanya.

Menurut Zunita, berdasarkan petunjuk itu Azra berusaha mencari tempat berkenaan namun setelah menempuh perjalanan selama sembilan jam untuk ke lokasi yang dimaksudkan lelaki tersebut gagal mengesan Yusuf atau rakyat Malaysia yang lain.

“Rupa-rupanya mereka telah dipindahkan ke tempat yang lebih jauh,” katanya menambah perkara itu dimaklumkan oleh Yusuf ketika menghubungi Azra buat kali kedua.

Usaha Azra untuk menemui Yusuf dan tahanan lain di lokasi baharu itu gagal selepas permohonannya tidak diluluskan oleh pihak berkuasa di sana.

“Bagaimanapun beliau pergi semula ke lokasi tahanan bersama-sama dengan pihak kedutaan Malaysia dan akhirnya dapat bertemu dengan kesemua anak-anak tersebut. Syukur, semua mereka dalam keadaan baik walaupun terhad dari segi makanan kerana khuatir hidangan yang diberi tidak halal,” kata Zunita.

Menurut wanita itu, hari ini Azra pergi ke Kemboja buat kali keenam dan membawa bersama bekalan makanan untuk diberikan kepada Yusuf dan tahanan lain.

“Tanpa Azra sudah tentu kami tidak dapat menemui Yusuf, terima kasih kepada Azra dan kerajaan yang membantu membawa perkhabaran yang positif ketika kami buntu mengenangkan nasib yang menimpa mereka. Saya berharap mereka dapat dibebaskan secepat mungkin,” katanya.

Seramai 47 rakyat Malaysia yang berusia 19 hingga 44 tahun ditahan di penjara wilayah Banteay Mancheay yang terletak 446 kilometer dari Phnom Penh.

Mereka dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi yang menawarkan pekerjaan  sebagai jurujual barangan elektronik dengan gaji dibayar dalam dolar Amerika Syarikat.

Dilaporkan Wisma Putra sedang bekerjasama dengan kerajaan Kemboja untuk membebaskan kesemua rakyat Malaysia terbabit yang didakwa terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian. - Bernama 

Advertisement