Anda di sini

Tujuh pelampau jihad dihukum penjara seumur hidup

Advertisement
 Gambar fail yang dikeluarkan pada 22 Mac 2015 ini menunjukkan rakaman gambar yang diambil dari kamera litar tertutup yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Tunisia di laman Facebooknya. Ia dilaporkan menunjukkan dua lelaki bersenjata (kanan) yang menyerang Muzium Bardo Negara Tunisia sambil membawa senjata dalam bilik manakala seorang lelaki (kiri) berlari keluar dari muzium. — Gambar AFP
BUKTI KUKUH: Gambar fail yang dikeluarkan pada 22 Mac 2015 ini menunjukkan rakaman gambar yang diambil dari kamera litar tertutup yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Tunisia di laman Facebooknya. Ia dilaporkan menunjukkan dua lelaki bersenjata (kanan) yang menyerang Muzium Bardo Negara Tunisia sambil membawa senjata dalam bilik manakala seorang lelaki (kiri) berlari keluar dari muzium. — Gambar AFP

TUNIS: Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas tujuh pelampau jihad dalam kes serangan ke atas sebuah muzium dan sebuah pantai pada 2015 yang mengorbankan 60 orang, kebanyakan mereka pelancong, kata pendakwa semalam.

Puluhan defendan menghadapi dua perbicaraan berasingan dalam kes serangan yang berkait rapat itu, dan berlaku selang beberapa bulan di Tunis dan Sousse, tetapi ramai dibebaskan.

Tiga dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana kesalahan membunuh berhubung serangan pertama pada Mac 2015 di muzium Bardo di ibu negara, di mana dua lelaki bersenjata membunuh 21 pelancong asing dan seorang pengawal keselamatan Tunisia.

Empat menerima hukuman yang sama bagi serangan yang berlaku di sebuah pusat pelancongan Sousse pada Jun tahun yang sama, yang mengorbankan 38 orang, kebanyakannya pelancong British.

Defendan lain dihukum penjara antara enam hingga 16 tahun, kata jurucakap pendakwaan Sofiene Sliti semalam.

Pendakwa berkata kemudian bahawa mereka merancang untuk melancarkan rayuan dalam kedua-dua kes.

Mahkamah dimaklumkan kedua-dua serangan, yang diakui dilakukan oleh kumpulan Negara Islam (IS), berkait rapat.

Beberapa defendan menuding jari kepada pelarian Chamseddine Sandi sebagai dalang kedua-dua serangan.

Menurut media Tunisia, Sandi maut dalam satu serangan udara oleh Amerika Syarikat di negara jiran Libya pada Februari 2016, tetapi tanpa pengesahan.

Antara mereka yang menghadapi perbicaraan adalah enam kakitangan keselamatan yang dituduh gagal memberi bantuan kepada orang dalam bahaya sewaktu serangan di Sousse.

Serangan itu dilancarkan oleh Seifeddine Rezgui, yang melepaskan tembakan di sebuah pantai sebelum dia menyerang sebuah hotel mewah, di mana dia terus menembak bertubi-tubi menggunakan senapang kalashnikov dan melontar bom tangan sebelum ditembak mati oleh polis.

Empat warga Perancis, empat warga Itali, tiga warga Jepun dan dua warga Sepanyol adalah antara mereka yang maut dalam serangan di Bardo, sebelum kedua-dua lelaki bersenjata terbabit, yang bersenjatakan raifal serangan kalashnikov, ditembak mati.

Siasatan menunjukkan salah seorang lelaki bersenjata itu, Yassine Laabidi – yang dilahirkan pada 1990 dan berasal dari sebuah daerah mundur dekat Tunis – mempunyai amfetamina di dalam badannya.

Rakan serangannya Jaber Khachnaoui, yang dilahirkan pada 1994 dan berasal dari wilayah Kasserine yang daif di Tunisia, telah pergi ke Syria pada Disember 2014 menerusi Libya.

Seorang suspek yang disoal di mahkamah, pekerja buruh dari Tunis, Mahmoud Kechouri, berkata dia membantu merancang serangan di Bardo, termasuk menyediakan telefon bimbit untuk Sandi, seorang jiran dan rakan lama.

Kechouri, 33, berkata dia didorong oleh “kewajipan untuk mengambil bahagian dalam kemunculan pemerintahan khalifah (IS)”.

Defendan lain yang dituduh membantu menyediakan serangan berkata mereka hanya membincangkan idea bersama rakan. Beberapa defendan mendakwa mereka diseksa dalam tahanan.

Ahli keluarga mangsa di Perancis dan Belgium menyaksikan perbicaraan bagi kes serangan Sousse menerusi siaran video secara langsung.

“Ia adalah penting bagi kami untuk melihat, dan terutamanya untuk mendengar – untuk cuba memahami peranan” setiap defendan, kata seorang mangsa selamat dari Perancis.

“Sampai pada hujung proses ini akan membantu kami menutup lembaran, walaupun kami tidak mungkin akan pernah lupa.”

“Perbicaraan ini membolehkan mereka – dengan mengatur sidang video dan memberi peluang untuk berhujah kepada peguam yang dipilih oleh mangsa – untuk akhirnya diiktiraf sebagai mangsa oleh kerajaan Tunisia,” kata Gerard Chemla, seorang peguam bagi mangsa Perancis.

Namun meratapi hakikat bahawa keluarga mangsa yang terbunuh belum lagi menerima ganti rugi.

Serangan di Sousse, yang mengorbankan 30 warga Britain, juga menjadi subjek prosiding di Mahkamah Keadilan Diraja di London, yang ingin tahu apa yang telah berlaku.

Sejak pemberontakan pada 2011 yang menggulingkan diktator Zine El Abidine Ben Ali, serangan pelampau jihad di Tunisia sudah mengorbankan puluhan anggota pasukan keselamatan.

Selain mengorbankan ramai orang, serangan di Bardo dan Sousse memberi tamparan yang buruk kepada sektor pelancongan yang amat penting di Tunisia – tetapi ia kini sudah mula pulih. — AFP

Advertisement