Anda di sini

MyCar sasar muncul penyedia utama e-hailing di Malaysia

KUALA LUMPUR: Aplikasi e-hailing, MyCar menyasarkan untuk muncul sebagai pembekal utama perkhidmatan itu di negara ini menerusi pembukaaan beberapa cawangan baharu di serata Malaysia serta di luar negara.

Setakat ini, MyCar yang dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan, telah membuka cawangan Kota Kinabalu serta Langkawi dan disusuli Kuching dan Johor Baharu tidak lama lagi bagi memenuhi permintaan pengguna dan pemandu MyCar.

“Pembukaan pejabat-pejabat cawangan ini akan memantapkan lagi operasi MyCar selain memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna dan juga pemandunya.

“Ini sejajar dengan perkembangan MyCar yang bakal menjadi pemain utama perkhidmatan e-hailing di Malaysia,” kata Pengarah Platforms Apps Sdn Bhd, Mohd Noah Maideen dalam satu kenyataan kelmarin.

Platform Apps merupakan pengasas MyCar.

MyCar yang digerakkan oleh 65,000 pemandu dan lebih 1.2 juta pengguna yang berdaftar di bawahnya,  adalah platform e-hailing yang paling pesat berkembang selepas Grab.

“Walaupun baru sahaja menyambut ulang tahun pertama operasinya, MyCar berjaya menarik perhatian ramai serta organisasi kerajaan dan swasta. Ini termasuk menyaksikannya diiktiraf sebagai penyedia perkhidmatan e-hailing rasmi di acara-acara seperti Royal Floria Putrajaya 2018, MAHA 2018 serta LIMA 19’ pada bulan Mac ini,” katanya.

Beliau berkata, MyCar turut mementingkan aspek keselamatan pengguna menerusi penubuhan jabatan pengurusan pemandu bagi mengendalikan sebarang masalah dan disiplin pemandu serta penumpang dalam usaha mencegah kejadian jenayah dan salah laku.

Menerusi usaha itu, pengguna atau pemandu terbabit boleh menghubungi talian 24 jam MyCar iaitu 03-76616208 bagi sebarang pertanyaan atau aduan.

MyCar juga menawarkan harga tetap ketika tempahan dan menawarkan Jaminan Pulangan Tambang jika terdapat perubahan harga ketika pembayaran. — Bernama