Anda di sini

Malaysia tempat kedua di rantau Asia Tenggara dalam indeks harta intelek antarabangsa

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia diletakkan di  kedudukan kedua di Asia Tenggara oleh Global Innovation Policy Centre (GIPC) Dewan Perniagaan Amerika Syarikat dalam indeks harta intelek (IP) antarabangsa tahunan ketujuhnya.

Pengarah Eksekutif dasar antarabangsa GIPC Ellen Szymanski berkata laporan itu menganalisis iklim IP di 50 ekonomi dunia dan meletakkan kedudukan ekonomi berkenaan berdasarkan 45 petunjuk unik yang amat penting kepada ekonomi diterajui inovasi yang disokong keteguhan paten, cap dagang, hak cipta dan perlindungan rahsia perdagangan.

“Kedudukan Malaysia itu menunjukkan bagaimana negara telah mengambil langkah-langkah positif untuk membawa kerangka IPnya lebih dekat dan selari dengan rakan-rakan ekonominya di Asia Tenggara,” katanya  dalam kenyataan kelmarin.

Laporan indeks itu juga meletakkan Malaysia di tempat ke-24 daripada 50 ekonomi. Mata keseluruhan dicatat Malaysia meningkat daripada 48.68 peratus pada edisi keenam kepada 49.70 peratus pada edisi ketujuh.

“Berdasarkan kemajuan besar dicapai Malaysia dalam menambah baik kerangka IPnya pada edisi ketujuh indeks itu, adalah penting untuk kerajaan menolak cubaan selanjutnya untuk melemahkan kerangka IP menerusi penggunaan lesen wajib.

“Lagipun, untuk muncul sebagai peneraju ekonomi berpendapatan pertengahan dan terus berupaya menarik pelaburan global, kerajaan perlu mewujudkan persekitaran paten yang lebih mantap, yang amat penting untuk melinudngi inovatif, inovasi biofarmaseutikal di Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata indeks boleh berperanan sebagai pelan induk bagi kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang secara keseluruhannya lebih kukuh menerusi regim IP lebih efektif.

Antara kunci kekuatan Malaysia adalah undang-undang kes baharu yang memperkukuh persekitaran penguatkuasaan kastam terhadap penipuan barangan semasa transit, perbanyakan R&D dan insentif cukai khas IP;  dan kerajaan memberi lebih tumpuan kepada IP sebagai aset komersial dan wadah pemindahan teknologi. — Bernama

Advertisement