Anda di sini

Kerinduan ibu terubat

Advertisement
 Gambar perbualan video antara Yusuf dan Zunita pada Disember lepas.
DILAYAN BAIK: Gambar perbualan video antara Yusuf dan Zunita pada Disember lepas.

KUCHING: Meskipun perbualan telefon bersama Yusuf Islam Abdul Halik sekadar lima minit pada petang Jumaat, tetapi ia cukup meredakan kegelisahan hati ibunya Zunita Sedini.

Yusuf, 21, salah seorang daripada warga Malaysia yang kini ditahan penjara di Kemboja bersama 46 lagi yang lain, menerusi perbualan singkat itu memberitahu mereka semua selamat dan dijaga baik.

Bapa saudara Yusuf, Mohammad Nazeeb Ali berkata, kakak iparnya, Zunita, memaklumkan kepada anaknya bahawa semua rakyat Malaysia khususnya Sarawak mendoakan mereka di sana agar cepat dibebaskan.

“Beliau (Yusuf) mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa yang berterusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Sambil memberitahu ia merupakan perbualan kedua antara Yusuf dan Zunita, Nazeeb berkata, ia merupakan petanda positif dan membuktikan kerajaan melaksanakan tugas dengan baik demi rakyat mereka.

“Semoga segala usaha mereka dipermudahkan Allah,” katanya.

Kali pertama Yusuf berhubung dengan ibunya pada Disember menggunakan panggilan video bagi tujuan memaklumkan mereka berada dalam tahanan penjara dan selamat.

Hari ini, keluarga Zunita akan mengadakan sidang media bagi memaklumkan keadaan terkini Yusuf.

Berhubung perkara sama, semalam Ahli Parlimen Julau Larry Sng bercadang melawat rakyat Malaysia yang kini ditahan di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja.

“Saya baru sahaja menghantar surat kepada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, menyatakan hasrat saya untuk melawat 47 tahanan rakyat Malaysia.

“Dalam surat tersebut juga, saya memohon pandangan Menteri tentang hasrat beberapa ahli keluarga mangsa tahanan dan wakil media untuk turut sama, bagi meninjau sendiri keadaan mereka di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Larry yang mendedahkan penahanan 47 warga termasuk 44 dari Sarawak pada Khamis, berkata beliau juga baru dimaklumkan oleh seorang wakil keluarga yang kini berada di Kemboja bahawa salah seorang daripada rakyat Malaysia yang ditahan telah dibawa ke hospital minggu lalu bagi menjalani pembedahan di perut.

Katanya, memandangkan komunikasi yang amat terhad, beliau sedang berusaha mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang perkembangan itu.

“Saya memohon kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar kesemua tahanan ini berada dalam keadaan selamat.

“Mereka semua adalah anak-anak kita. Anak-anak Malaysia,” katanya.

Saifuddin pada Jumaat dilaporkan berkata, tumpuan utama kini diberikan terhadap usaha membawa pulang kesemua tahanan.

Kerajaan Kemboja katanya, memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka yang ditahan sejak 11 Disember lepas. 

“Kita mendapatkan info terkini mengenai situasi ini. Pegawai kita juga sudah berhubung dengan mereka untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik. Semua keluarga yang terlibat juga sudah maklum dengan penahanan itu,” katanya.

Pada Khamis, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia merangkumi 44 orang warga Sarawak di Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Jelasnya, makluman penahanan tersebut hanya diterima secara lisan daripada polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu.

  • oleh
  • Advertisement