Anda di sini

Pertimbang hantar wakil

 Abang Johari dan rombongan bergambar beramai-ramai di kediaman Lee sempena kunjungan Tahun Baharu Cina di Miri semalam.
RAIKAN KEMERIAHAN: Abang Johari dan rombongan bergambar beramai-ramai di kediaman Lee sempena kunjungan Tahun Baharu Cina di Miri semalam.

MIRI: Kerajaan Sarawak mempertimbang menghantar wakil ke Kemboja untuk memudahkan rundingan bagi melepaskan 44 rakyat Sarawak yang kini ditahan di sebuah penjara daerah di negara itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak sentiasa berhubung dengan wakil Pejabat Luar Malaysia di Kuching mengenai isu penahanan dan mengamalkan pendekatan dua hala.

“Kita dimaklumkan mengenai penahanan 44 warga Sarawak oleh pihak berkuasa Kemboja, tetapi kita berpendirian untuk membenarkan rundingan oleh kerajaan Malaysia dan Kemboja akan dijalankan tanpa publisiti.

“Memandangkan perbincangan masih berterusan, kita tidak dapat memberikan publisiti secara meluas mengenai perkara ini kerana khuatir ia akan memberikan mesej yang salah,” ujarnya kepada Utusan Borneo selepas mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Budaya Datuk Lee Kim Shin di sini, semalam.

Abang Johari turut mengingatkan rakyat Sarawak agar berhati-hati menerima tawaran pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan untuk mengelakkan mereka ditipu melakukan aktiviti haram di luar negara.

“Kita mendapat maklumat awal daripada Kementerian Luar dan menyerahkan kepada mereka memandangkan ia di bawah kuasa kementerian.

“Pesan saya kepada rakyat Sarawak, jangan tertipu dengan agensi palsu yang menawarkan pekerjaan di luar negara. Mereka patut mengesahkan tawaran itu sebelum pergi,” katanya.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Dr Penguang Manggil.

Sementara itu, Dr Sim berkata, SUPP akan melakukan yang terbaik untuk membantu melepaskan rakyat Sarawak yang ditahan di Kemboja sejak tahun lepas.

“Parti akan berkomunikasi menggunakan saluran formal dan tidak formal untuk berbincang mengenai perkara ini. Buat masa ini, kita tidak dapat dedahkan secara terperinci namun parti akan lakukan yang terbaik,” kata Dr Sim.

Kelmarin, akhbar melaporkan seramai 47 warga Malaysia kini ditahan di sebuah penjara daerah di Kemboja selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia.

Daripada jumlah itu, 44 orang berasal dari Sarawak, manakala selebihnya dari negeri lain, setelah dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

Kesemua mangsa berusia antara 18 dan 20 tahun dengan lebih kurang satu perempat daripada mereka adalah perempuan.

Mereka ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah dan perkara ini juga tidak dimaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia.