Anda di sini

Larry mohon lawat tahanan di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja

Advertisement
47 rakyat Malaysia jadi tahanan di Kemboja

KUCHING: Ahli Parlimen Julau Larry Sng bercadang melawat rakyat Malaysia yang kini ditahan di Penjara Banteay Meanchey, Kemboja.

"Saya baru sahaja menghantar surat kepada Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, menyatakan hasrat saya untuk melawat 47 tahanan rakyat Malaysia.

"Dalam surat tersebut juga, saya memohon pandangan YB Menteri tentang hasrat beberapa ahli keluarga mangsa tahanan dan wakil media untuk turut sama, bagi meninjau sendiri keaadaan mereka di sana," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Larry yang mendedahkan penahanan 47 warga termasuk 44 dari Sarawak pada Khamis, berkata beliau juga baru dimaklumkan oleh seorang wakil keluarga yang kini berada di Kemboja bahawa salah seorang daripada rakyat Malaysia yang ditahan dibawa ke hospital minggu lalu bagi menjalani pembedahan di perut.

Katanya, kerana komunikasi yang amat terhad, beliau sedang berusaha mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang perkembangan itu. 

"Saya memohon kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar kesemua tahanan ini berada dalam keadaan selamat.

"Mereka semua adalah anak-anak kita. Anak-anak Malaysia," katanya. 

BERNAMA melaporkan Saifuddin berkata tumpuan utama akan diberikan kepada usaha membawa pulang kesemua tahanan. 

Kerajaan Kemboja katanya memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka yang ditahan sejak 11 Disember lepas. 

Usaha membawa pulang itu turut dilakukan oleh Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, yang memaklumkan 44 daripada 47 rakyat yang ditahan ialah anak muda Sarawak, jelasnya.

"Kita mendapatkan info terkini mengenai situasi ini. Pegawai kita juga sudah berhubung dengan mereka untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik. Semua keluarga yang terlibat juga sudah maklum dengan penahanan itu," katanya.

Pada Khamis, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Jelasnya, makluman penahanan tersebut hanya diterima secara lisan daripada pihak polis Bantey Meanchey pada 28 Disember lalu

  • oleh
  • Advertisement