Anda di sini

Isu pemilikan tanah di Sembulan perlu diambil serius

Advertisement
ROSIMAH ( tiga, kanan) menyerahkan memorandum agenda permasalahan di kampung Sembulan kepada Husaini (lima, kiri).
ROSIMAH ( tiga, kanan) menyerahkan memorandum agenda permasalahan di kampung Sembulan kepada Husaini (lima, kiri).

KOTA KINABALU: Isu pemilikan tanah di Sembulan perlu mendapat perhatian oleh pihak berkepentingan, ekoran masalah itu sudah lama membelenggui penduduk asal di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari berkata, beliau turut memandang serius akan permasalahan itu yang sudah berlarutan berlaku lebih 20 tahun lalu.

"Hari ini saya datang penuhi permintaan dan mendengar permasalahan hangat mereka berhubung isu tanah, sekaligus mendengar kemahuan mereka.

"Kemudian, barulah kita teliti apa penduduk Sembulan mahukan dan saya sampaikan suara rakyat ini ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui pemberita pada Sesi Dialog Rakyat Bersama Pemimpin di Dewan Serbaguna Sembulan, di sini pada Sabtu.

Husaini berkata, beliau juga perlu memperhalusi hasrat penduduk asal kampung itu terlebih dahulu dalam tempoh seminggu, kemudian barulah menyuarakan kepada pihak kementerian berkaitan.

"Bagi saya masa 30 hari, suara rakyat ini akan sampai ke meja orang tertentu dan suara ini perlu dibalas atau mendapat tindakan sewajarnya.

"Jadi, tindakan kedua adalah saya akan sampaikan kepada rakyat semua (penduduk kampung) untuk maklum balas seterusnya," katanya.

Semasa sesi dialog terbabit, beberapa wakil penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Sembulan Lama, Baru, Tengah dan Taman Sempelang menyuarakan isu tanah di kawasan masing- masing.

Antara masalah yang diketengahkan adalah meminta kerajaan membenarkan mereka memperbaharui semula geran tanah yang sudah luput tempoh, serta mengurangkan kadar cukai dan premium tanah sedia ada.

Selain itu, penduduk kampung yang dianggarkan seramai lebih 3,000 orang itu juga memohon pihak berkaitan supaya menyeragamkan tempoh pembaharuan geran tanah.

"Difahamkan, 30 peratus sudah luput pemilikannnya, 30 peratus yang tinggal hanya 4 atau 5 tahun, manakala 40 peratus lagi dalam tempoh 10 tahun ke atas.

"Permintaan pemilikan yang luput ini agar mereka dibenarkan memperbaharui tanah mereka yang luput tempoh itu, dan 40 peratus lagi meminta untuk terus dibenarkan memperbaharui pada masa akan datang," tambah Husaini.

Selain itu, beliau juga akan menyelidik dan berhubung terus kepada Jabatan Tanah bagi mendapat penjelasan berhubung dakwaan mengatakan ada syarikat yang ingin memohon pemilikan tanah seluas 1 ekar di kawasan terbabit.

Turut berlangsung adalah sesi penyerahan memorandum Agenda Pemasalahan tanah di kampung sembulan yang disampaikan oleh Penaung Badan Bertindak Kampung Sembulan Datuk Rosimah Zakaria.

  • oleh
  • Advertisement