Anda di sini

Ambil air longkang, paip elak ditahan AADK

Advertisement
ANTARA penagih yang ditahan dalam Ops Bersepadu bersama JPJ.
ANTARA penagih yang ditahan dalam Ops Bersepadu bersama JPJ.

TUARAN: Seorang penagih lelaki bertindak menggunakan air longkang dan air paip semasa ujian air kencing dijalankan bagi mengelakkan ditahan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pegawai AADK Tuaran Asraf Hafiz Ruslan berkata tindakan suspek dikesan semasa pihaknya menjalankan operasi dalam satu sekatan jalanraya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Telipok jam 9 pagi.

“Semasa diarahkan untuk mengisi air kencing di dalam bekas khas, suspek berumur 36 tahun itu bertindak mengambil air longkang untuk dimasukkan ke dalam bekas terbabit.

“Tindakan suspek bagaimanapun berjaya dikesan apabila anggota kita melihat terdapat pasir di dalam bekas terbabit,” katanya.

Menurutnya semasa diarahkan untuk memberikan sampel air kencing buat kali kedua, suspek sekali lagi menipu dengan mengisi air paip di dalam bekas itu.

“Perbuatan suspek juga gagal mengaburi anggota penguatkuasa dan selepas didesak suspek akhirnya memberikan sampel sebenar sebelum ujian terbabit menunjukkan positif dadah jenis syabu,” katanya.

Asraf berkata suspek adalah antara 10 penagih positif yang ditahan dalam operasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kesemua suspek berumur 18 hingga 41 tahun itu kemudiannya ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

“Pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah dan orang awam yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi AADK Tuaran di talian 088 788 336 atau mengunjungi pejabat AADK berdekatan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement