Anda di sini

60 ditahan, polis rampas RM71,000 dalam Ops Limau

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan 60 individu yang cuba menganjurkan kegiatan perjudian dan merampas wang tunai sebanyak RM71,000 sepanjang tempoh Ops Limau dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, Ops Limau dijalankan bermula 1 Februari lalu bagi membanteras sebarang aktiviti perjudian sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

"Kesemua suspek ditahan dalam 15 serbuan berjaya di seluruh Sabah dan kita akan terus menyediakan anggota di beberapa kawasan berisiko agar kegiatan perjudian yang dianjurkan oleh individu tertentu dapat dibanteras.

"Berjudi tanpa lesen boleh didenda mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka bagi lesen perjudian manakala Seksyen 4(1) bagi individu yang didapati terbabit kegiatan ini termasuk yang membenarkan kegiatan perjudian di premis," katanya.

Sementara itu Omar berkata sepanjang tahun ini sahaja pihaknya berjaya melaksanakan 88 serbuan berjaya terhadap aktiviti perjudian dan menahan 181 individu yang terbabit kegiatan berkenaan.

"Kita juga berjaya merampasa wang tunai sebanyak RM 53,455 dan pasukan polis Sabah akan terus mempertingkatkan operasi serta risikan penguatkuasaan bagi mengesan aktiviti perjudian haram yang tidak berlesen.

"Sepanjang tahun 2018 juga kita merekodkan rampasan wang tunai sebanyak RM718,000 dan melakukan 799 serbuan berbanding hanya 604 pada 2017," katanya.

  • oleh
  • Advertisement