Anda di sini

Zainoren gigih didik pelajar OKU agar setanding insan sempurna

Advertisement
 Zainoren dan pelajar pendidikan khasnya mengambil bahagian membuat persembahan pada  majlis perasmian Ibu Bapa dan Guru Peringkat Negeri Sarawak  di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Ghapor, Stampin  pada Januari lepas.
MARTABAT WARISAN: Zainoren dan pelajar pendidikan khasnya mengambil bahagian membuat persembahan pada majlis perasmian Ibu Bapa dan Guru Peringkat Negeri Sarawak di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Ghapor, Stampin pada Januari lepas.

SEMANGAT kental untuk mendidik pelajar kelainan upaya (OKU) sehingga maju  seperti insan sempurna, melayakkan Zainoren Jack menerima Anugerah Ikon Guru Peringkat Negeri Sarawak 2018.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berkhidmat sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Haji Abdul Ghapor, Stampin itu meletakkan anak didikannya setaraf potensi mereka dengan pelajar normal.

 Sebahagian daripada pelajar pendidikan khas merupakan anak didik Zainoren yang membuat persembahan pada satu majlis berlangsung di Kuching, baru-baru ini.
BERBAKAT: Sebahagian daripada pelajar pendidikan khas merupakan anak didik Zainoren yang membuat persembahan pada satu majlis berlangsung di Kuching, baru-baru ini.
 Zainoreen bersama pelajar pendidikan khasnya (OKU) merakamkan gambar kenangan setelah berjaya dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Tarian Kebudayaan Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada 2013.
BANGGA: Zainoreen bersama pelajar pendidikan khasnya (OKU) merakamkan gambar kenangan setelah berjaya dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Tarian Kebudayaan Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada 2013.

Guru berusia 53 tahun itu memulakan kerjaya sejak hampir 30 tahun mendidik anak bangsa dengan  berpegang teguh pada prinsip ‘genggam bara api biar sampai  jadi abu’.

“Saya tidak akan patah semangat untuk terus berjuang mendidik anak-anak OKU kerana mereka juga berpotensi maju seperti pelajar normal yang lain dengan bantuan dan sokongan insan bergelar cikgu.

“Turut membantu ialah persepsi masyarakat hari ini yang bersikap lebih terbuka menerima kehadiran anak-anak OKU,” katanya sambil berharap, semoga mereka lebih maju dari segi ekonomi dan industri kreatif.

Zainoren memberitahu, cabaran utamanya mengajar pelajar pendidikan khas ialah apabila mengajar pelajar pekak dan bisu.

“Namun saya mempunyai teknik ciptaan sendiri iaitu Teknik Terapi Pergerakan merangkumi elemen muzik, tarian dan penampilan dalam membantu pelajar OKU memahami subjek. Alhamdulillah, berkat kesabaran, saya dapat mendidik pelajar istimewa ini sehingga cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum.

“Malah, kita sedang berusaha untuk membukukan Teknik Terapi Pergerakan ini dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris,” jelasnya.

Pembukuan teknik khas itu, katanya melibatkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kemungkinan akan disiapkan pada 2020.

Wartawan Utusan Borneo yang menemu bual Zainoren di kediamannya baru-baru ini turut berasa kagum terhadap  semangat kental guru itu yang terpaksa menggunakan khidmat pemandu untuk pergi dan balik dari mengajar.

 Zainoren menunjukkan Anugerah Ikon Guru Peringkat Negeri Sarawak 2018 dan Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak Tahun 2014 ketika ditemu bual Utusan Borneo di kediamannya di Taman Sri Wangi, baru-baru ini.
DIHARGAI: Zainoren menunjukkan Anugerah Ikon Guru Peringkat Negeri Sarawak 2018 dan Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak Tahun 2014 ketika ditemu bual Utusan Borneo di kediamannya di Taman Sri Wangi, baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik yang buta mata sebelah kanan dan rabun mata kiri itu tidak pernah menjadikan status dirinya sebagai OKU penghalang untuk terus mendidik pelajar istimewa.

“Meskipun saya cacat penglihatan sebelah mata kanan sejak dua tahun lalu akibat penyakit glaukoma, ditambah pula dengan rabun mata kiri, namun saya tetap berbangga kerana dapat membantu pelajar OKU ini berdikari selepas mereka tamat persekolahan.

“Bagi saya, pelajar OKU ini sangat istimewa, kalau kita tidak membantu mereka, maka adalah amat sukar untuk mereka maju,” ujar Zainoren yang telah menerima banyak anugerah atas sumbangan dan jasanya dalam mendidik anak-anak istimewa.

Antara anugerah yang diterima beliau termasuk Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak bagi tahun 2014 dan 2006, Anugerah Kualiti Peringkat Kebangsaan Tahun 2014, Anugerah  Guru Cemerlang Pendidikan Khas Peringkat Negeri bagi tahun 2017 dan 2008, Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan Tahun 2010, Anugerah Pencapaian Khas sempena Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2006 dan Anugerah Kokurikulum Peringkat Negeri Sarawak sebanyak lapan kali dari tahun 2004 hingga 2013.

Mengakhiri perbualan, Zainoren menyifatkan anugerah itu adalah cetusan semangat untuk meneruskan perjuangan dalam pendidikan bagi mendidik anak bangsa terutama pelajar istimewa untuk menjadi setanding insan normal.

  • oleh
  • Advertisement