Anda di sini

Diarah bela diri, lelaki didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap anak buah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 54 tahun diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap anak buahnya.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan tarikh bela diri pada 28 Febuari dan 1 Mac terhadap tertuduh, selepas kes ditutup pada peringkat akhir pendakwaan.

Beliau menyatakan setelah menilai semua bukti, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh menyentuh payu dara mangsa yang berusia 10 tahun lima bulan pada waktu kejadian.

Kesalahan dilakukan pada 14 Januari tahun lalu jam 12 tengah hari di sebuah rumah Manggatal di sini.

Untuk itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Peguam Goldam Hamid menyatakan lima saksi daripada pihak pembelaan akan dipanggil memberi keterangan antaranya tertuduh sendiri.

Ketika hadir di mahkamah pada Jumaat, tertuduh berjalan dengan menggunakan tongkat.

Dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki diperintahkan membela dirinya pada 20 hingga 22 Mac atas pertuduhan sama, setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Nurfazzrynn Fazir, 24, yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) akta sama, meramas payu dara mangsa yang berusia 15 tahun pada waktu kejadian.

Kesalahan dilakukan pada 3 Julai tahun lalu jam 2.30 petang di tepi jalan raya Taman Sempelang, Tanjung Aru di sini.

Peguam Michell Rosana Usman yang mewakili tertuduh, pihaknya akan memanggil empat saksi antaranya tertuduh sendiri untuk memberikan keterangan.

Timbalan Pendakwaraya Umar Faiz mewakili pihak pendakwaan.

Advertisement