Anda di sini

Demi keindahan Telok Melano

Advertisement
 Jamilah (kiri) bersama penduduk Kampung Telok Melano gotong-royong mengutip sampah-sarap di kawasan pantai.
JAGA KEBERSIHAN: Jamilah (kiri) bersama penduduk Kampung Telok Melano gotong-royong mengutip sampah-sarap di kawasan pantai.

KUCHING: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung di Telok Melano mengecewakan sehingga menjejaskan pemandangan indah dan kebersihan pantai di situ.

Telok Melano yang dahulunya sunyi sepi, kini menjadi lokasi pilihan orang ramai ketika musim cuti umum dan hujung minggu untuk menyaksikan sendiri keunikan dan keindahan semula jadi.

Sejak siapnya jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan perkampungan terpencil itu dengan Sematan, Lundu pada Januari lalu, perjalanan dari bandar raya Kuching hanya mengambil masa kira-kira dua jam.

Namun, apa yang menyedihkan sikap segelintir pengunjung yang kurang peka terhadap isu kebersihan dengan membuang sampah-sarap di merata-rata tempat sekali gus merosakkan pemandangan indah di kawasan pantai di situ yang turut tular menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu mengingatkan pengunjung agar bertanggungjawab dan bersama-sama menjaga kebersihan semasa berkunjung ke situ.

“Saya sangat gembira dengan sambutan yang amat meriah dari kalangan orang ramai berkunjung ke Telok Melano sejak Lebuh Raya Pan Borneo siap (jajaran Telok Melano-Sematan) dan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 26 Januari lalu.

 Petugas Pusat Khidmat DUN Tanjong Datu menunjukkan poster peringatan kepada pengunjung Telok Melano.
JANGAN BUANG SAMPAH: Petugas Pusat Khidmat DUN Tanjong Datu menunjukkan poster peringatan kepada pengunjung Telok Melano.

“Sejak ia dibuka, ramai penduduk dari seluruh Sarawak berkunjung ke sini selepas melihat gambar dan video keindahan semula jadi Telok Melano yang dikongsi pengguna di laman sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Jamilah memberitahu, jumlah pengunjung ke Telok Melano pada 5 Februari lalu iaitu hari pertama Tahun Baharu Cina amat ramai sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas ‘luar biasa’ di kawasan tersebut.

Tambahnya, ekoran itu ramai dari kalangan pengunjung menyuarakan pandangan mereka di media sosial mengenai kesulitan yang dialami mereka.

“Ketika sambutan Tahun Baharu Cina, saya tidak dapat bersama-sama pengunjung di Telok Melano kerana jadual lawatan saya telah dibuat, saya sememangnya mahu bersama anda semua di sana, tetapi masa tidak menyebelahi saya untuk bersama anda semua.

“Sebagai wakil penduduk Telok Melano, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengunjung yang telah meluangkan masa untuk melawat kawasan ini dan kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami ketika berkunjung di sini ekoran jumlah pengunjung yang datang terlalu ramai untuk melihat keindahan pantai dan alam semula jadi di Telok Melano ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesulitan itu amat tidak disengajakan dan kemudahan asas yang ada di Telok Melano sedang dalam perancangan dan pelaksanaan.

“Justeru, kita berharap semua pengunjung yang telah datang ke sini tidak berasa kecewa dan dapat datang semula ke sini apabila semua kemudahan untuk pengunjung siap sepenuhnya pada masa hadapan.

“Saya juga telah mengatur pertemuan bersama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan untuk mempertingkatkan lagi kemudahan asas yang diperlukan di Telok Melano seperti tong sampah, tempat parkir, tandas awam, tempat berniaga dan sebagainya demi keselesaan pengunjung,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, pengunjung di Telok Melano harus disediakan kemudahan asas supaya mereka dapat menginap di sana bagi menikmati lawatan mereka ke kawasan tersebut.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih di Tanjong Datu, saya amat berharap Telok Melano ini terus menjadi lokasi percutian yang menyeronokkan untuk rakyat Sarawak dan menjadi lokasi pelancongan yang popular di negeri ini,” katanya lagi.

Semalam, beliau bersama Setiausaha Majlis Daerah Lundu Norashikin Brahim, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, ahli-ahli majlis, pegawai Bahagian Kejuruteraan, Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar serta penguatkuasaan mengadakan lawatan ke pantai Telok Melano.

Katanya, lawatan itu bagi mengenal pasti kemudahan asas dan keperluan yang diperlukan di situ memandangkan kawasan tersebut kini menjadi pusat tarikan baharu bagi pelancong.

  • oleh
  • Advertisement