Anda di sini

Ahli-ahli Alumni SMKAMi digalakkan libat diri aktiviti pembangunan sekolah

Advertisement
 Ahli-ahli Persatuan Alumni SMKAMi merakamkan kenangan bersama dengan tetamu jemputan.
KENANGAN: Ahli-ahli Persatuan Alumni SMKAMi merakamkan kenangan bersama dengan tetamu jemputan.

AHLI-ahli Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri (SMKAMi) digalakkan melibatkan diri secara langsung dengan aktiviti pembangunan sekolah tersebut.

Pengerusinya, Rozdizam Kasan berkata jaringan atau ‘networking’ sistematik hendaklah diwujudkan bagi membolehkan alumni membantu pihak sekolah dalam pelbagai lapangan serta saling membantu kalangan ahlinya.

Menurutnya, ahli-ahli alumni merupakan rakan kongsi berpotensi memberi nilai tambah kepada institusi sekolah terutamanya kepada komuniti sekitar sekolah tersebut.

“Kepimpinan Persatuan Alumni SMKAMi sentiasa memikirkan strategi berkesan untuk meningkatkan keahlian supaya masing-masing dapat memanfaatkan kewujudan persatuan itu secara keseluruhannya.

“Persatuan alumni ini mendapat sambutan dan penyertaan lebih 300 ahli berdaftar dan diharap penyertaan ahli-ahli semakin bertambah masa akan datang,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Alumni SMKAMi di Miri, baru-baru ini.

Lebih kurang 50 alumni SMKAMi hadir pada majlis tersebut datang sejauh dari Limbang.

Hadir sama Pengetua SMKAMi, Ahmad Fauzi Yaakob dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKAMi, Marini Juraibi.

Rozdizam berkata, dengan matlamat jelas dan strategi terarah beliau percaya persatuan alumni ini dapat berfungsi dengan berkesan sebagai landasan alumni dengan ‘Alma Mater’ mereka.

Persatuan itu mendapat perakuan pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 19 Mac 2018.

Majlis makan malam julung kali selepas persatuan itu mendapat perakuan pendaftaran  ROS dan turut diadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama di Dewan Sekolah Kebangsaan Anchi, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Fauzi dalam ucapannya menggesa agar persatuan alumni itu dapat bekerjasama rapat dengan PIBG membangunkan sekolah tersebut.

“Ini merupakan satu kejayaan besar buat persatuan alumni kerana mendapat perakuan pendaftaran dari ROS.

“Dengan gabungan tiga penjuru iaitu sekolah, PIBG dan alumni akan memantapkan sekolah dan bersama-samalah kita membangunkan sekolah ini,” katanya.

Pada majlis sama turut diraikan 10 orang anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Anak Kesayangan Kami (PJAKK) Miri.

Advertisement