Anda di sini

44 anak muda Sarawak ditahan tanpa bicara di Kemboja

Advertisement
 Larry (tengah) bersama beberapa wakil NGO serta ahli keluarga mangsa pada sidang media di Kuching, semalam.
BEBASKAN MEREKA: Larry (tengah) bersama beberapa wakil NGO serta ahli keluarga mangsa pada sidang media di Kuching, semalam.

KUCHING: Seramai 44 anak muda Sarawak dan tiga lagi dari negeri lain kini ditahan di sebuah Penjara Daerah di Kemboja selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia.

Kesemua mangsa berusia antara 18 dan 20 tahun dengan lebih kurang satu per empat daripada mereka merupakan gadis.

Ahli Parlimen Julau Larry Sng selaku jurucakap yang mengetengahkan isu itu berkata, hampir kesemua mangsa berasal dari keluarga kurang berkemampuan di Sarawak.

“Mereka ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah dan perkara ini tidak dimaklumkan kepada pihak kedutaan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, Presiden Persatuan Graduan Dayak Sarawak Dr Dusit Jaul, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Dato Sri Hafsah Harun dan Pengerusi Persatuan Dayak Iban Sarawak Sidi Munan.

Menurut kronologi kes, Larry berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Kemboja oleh sebuah agensi pekerjaan yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

Setibanya di Kemboja, mereka ditempatkan di sebuah rumah persendirian tanpa mendapat pekerjaan yang dijanjikan, sebelum ditahan oleh polis Kemboja kononnya atas tuduhan terlibat dalam permainan perjudian dalam talian.

Bagaimanapun, mereka yang menafikan tuduhan tersebut telah ditahan selama seminggu di lokap polis dan dipindahkan ke Penjara Daerah kira-kira 446 kilometer dari ibu kota Kemboja pada 16 Disember tahun lalu sehingga hari ini.

“Ketika waktu itu, pihak kedutaan juga tidak mengetahui lokasi sebenar atau sebarang rekod mengenai penahanan semua mangsa,” kata Larry.

Beliau menambah kesemua mangsa juga masih belum dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa atau direman.

Katanya lagi, ahli keluarga mangsa juga hanya mendapat tahu berita penahanan anak-anak mereka melalui akhbar tempatan Kemboja.

“Mereka difahamkan bahawa anak-anak mereka boleh ditahan selama tiga tahun tanpa didakwa di mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Larry berharap agar kerajaan Malaysia dan juga Sarawak dapat membantu menyelamat serta membebaskan kesemua mangsa.

Katanya, anak-anak Malaysia terbabit termasuk keluarga mereka tiada daya dan tempat lain untuk bergantung harap bagi mendepani kerumitan birokrasi Kemboja.

  • oleh
  • Advertisement