Anda di sini

Suami isteri ditahan bersama 2.1kg syabu

Advertisement
OMAR menunjukkan dadah yang dirampas daripada sepasang suami isteri di kawasan pasar lama Labuan.
OMAR menunjukkan dadah yang dirampas daripada sepasang suami isteri di kawasan pasar lama Labuan.

KOTA KINABALU: Helah sepasang suami isteri menyembunyikan dadah jenis syabu di dalam bungkusan minuman membawa padah apabila pasangan terbabit bakal berhadapan hukuman gantung.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kedua-dua suspek berumur lingkungan 20 tahun itu ditahan semasa mengedar dadah di kawasan bandar Labuan 5 Februari lalu.

“Kegiatan kedua-dua suspek dikesan apabila sepasukan anggota yang menjalankan rondaan menahan dua individu yang membawa beg pakaian berdekatan gerai buah di kawasan pasar lama di sini.

“Apabila ditahan suspek hanya mendiamkan diri dan hasil pemeriksaan di dalam beg terbabit menemukan beberapa jenis bungkusan minuman kopi dan coklat pelbagai jenis,” katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 42 bungkusan plastik lain di dalamnya mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu.

“Berat keseluruhan dadah yang dirampas adalah 2.137 kilogram (kg) dengan anggaran nilai pasaran semasa sebanyak RM108,000.

“Kedua-dua pasangan yang juga suami isteri kemudiannya ditahan reman sehingga 12 Februari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menjejaki rangkaian sindiket pengedaran dadah yang dipercayai berada di tanah besar Sabah.

“Hasil risikan mendapati bekalan dadah yang dirampas ini dibawa menggunakan jalan air iaitu bot laju dari Kota Kinabalu untuk diedarkan ke pasaran tempatan di Labuan,” katanya.

Dalam pada itu, Omar berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah mencatatkan prestatsi cemerlang sepanjang tahun ini dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di negeri ini.

“Bermula awal Januari sehingga Khamis, JSJN Sabah berjaya menahan 1,692 individu dan menunjukkan peningkatan sebanyak 34 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 1658 kes.

“Kita juga berjaya menahan 130 pengedar dadah dan merampas 3,370 kg syabu serta 6,000 gram daun ketum bagi tempoh yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

  • oleh
  • Advertisement