LAHAD DATU: Seramai 27 individu ditahan polis termasuk seorang lelaki dan wanita yang disyaki pembekal dadah pada serbuan Ops Sarang di Kampung Desa Bajau, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nazri Mansor berkata lelaki warganegara asing, 34, ditahan memiliki 5.76 syabu anggaran nilai RM862.50 dan mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Seorang wanita warganegara berusia 23 tahun turut ditahan kerana memiliki syabu 5.22 gram bernilai anggaran RM783.
"Kedua-dua suspek ini akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952," katanya.
Menurutnya, pada operasi itu seramai 40 orang diperiksa terdiri 33 lelaki dan tujuh wanita.
Daripada jumlah itu, 22 lelaki dan lima wanita berusia 15 hingga 58 tahun ditahan.
Kesemua yang ditahan itu melibatkan dua kes Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 (dua kes), Seksyen 15(1)(a) ADB 152 (10 kes).
Sementara 16 orang ditahan Imigresen disyaki pendatang tanpa izin.
Nazri berkata Ops Sarang akan terus dilancarkan bagi membanteras sarang-sarang penagih, kegiatan penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah.
Beliau berharap orang ramai membantu usaha itu dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.