Anda di sini

Kaum Tionghua diseru terus sokong kerajaan baharu Sabah

Advertisement
 Christina (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2019 di Lintasan Deasoka.
MERIAH: Christina (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2019 di Lintasan Deasoka.

KOTA KINABALU: Kaum Tionghua di Sabah perlu sabar dan memberikan ruang kepada kerajaan baharu Sabah untuk membawa perubahan yang diinginkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk membawa perubahan yang diinginkan oleh seluruh rakyat Sabah.

“Segala perubahan dan reformasi memerlukan masa untuk dilaksanakan, maka saya menyeru kesabaran dari kaum Tionghua yang majoriti adalah perniaga supaya terus menyokong kerajaan baharu Sabah.

“Kerjasama anda sudah tentu memberi kesan dan impak demi kejayaan bersama,” katanya ketika merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina 2019 di Lintasan Deasoka di sini, pada Jumaat malam.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Shafie berkata, beliau sedar bahawa 90 peratus dari kawasan pilihan raya yang majoriti kaum Tionghua telah menyokong kerajaan negeri baharu melalui Parti WARISAN, PKR dan DAP semasa pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, masyarakat Tionghua di Sabah kini berasa bimbang dengan kemerosotan harga minyak antarabangsa, ketidakstabilan harga kelapa sawit dan juga jumlah pelancong ke Sabah.

“Saya memberi jaminan bahawa perkara ini pasti dapat diatasi dalam tempoh yang singkat.

“Lebih-lebih lagi dengan dasar dan asas ekonomi termasuk sumber-sumber yang kaya bagi negeri Sabah akan dapat kita mencapai kejayaan yang lebih cemerlang secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut menjelaskan kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada penganjuran perayaan Tahun Baharu Cina kerana ia sesuai dengan hasrat mahukan rakyat jelata meneruskan perayaan masing-masing mengikut suku kaum dan keagamaan, tetapi ianya turut disertai serta dimeriahkan oleh semua lapisan rakyat tidak kira bangsa dan agama.

“Saya percaya karnival ini dapat menampung keperluan semua pihak bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga pelancong dari negara China untuk bersama-sama merayakan perayaan ini di Sabah,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Menteri Belia dan Sukan Datuk Frankie Poon, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe, Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat Cina Kota Kinabalu (USCCAKK) Datuk Susan Wong serta tetamu kehormat yang lain.

Advertisement