Anda di sini

‘I Am the Night’ singkap kembali misteri pembunuhan Black Dahlia

Advertisement
 Chris Pine bersama Gal Gadot  semasa tayangan perdana ‘I Am The Night’ baru-baru ini.  — Gambar AFP
TAYANGAN PERDANA: Chris Pine bersama Gal Gadot semasa tayangan perdana ‘I Am The Night’ baru-baru ini. — Gambar AFP

IA merupakan misteri jenayah yang telah mengilhamkan banyak buku, filem dan malah sebuah kumpulan ‘death metal’: sekarang pembunuhan sensasi seorang wanita Los Angeles yang dikenali sebagai ‘The Black Dahlia’ dan yang masih belum diselesaikan itu menerima layanan siri mini daripada pengarah di sebalik ‘Wonder Woman’ dan ‘Monster’.

Unsur-unsur mengerikan dalam kes itu telah menjadi legenda: mayat Elizabeth Short, berusia 22 tahun dan berambut hitam – dikatakan menaruh impian untuk menjadi seorang pelakon - telah dijumpai oleh seseorang yang lalu di tempat kejadian di Leimert Park L.A. pada 18 Januari 1947, mayatnya dipotong kepada dua bahagian pada paras pinggang dan wajahnya dikelar.

Dalam ‘I Am the Night’, yang akan disiarkan di TNT, pengarah Patty Jenkins menceritakan kisah – yang boleh jadi sudah basi dalam cara baharu – menerusi perspektif mendiang rakannya Fauna Hodel (lakonan aktres dengan mata seperti mata rusa, India Eisley), cucu perempuan George Hodel, salah seorang suspek utama.

Diserahkan pada waktu lahir kepada seorang ibu angkat dan dibesarkan tanpa sebarang hubungan dengan ibu bapa kandungnya, Fauna Hodel memutuskan pada usia 16 tahun untuk mencari keluarga kandungnya – laluan yang sarat dengan kesulitan dan rahsia gelap.

Jalan cerita diolah berdasarkan kehidupan sebenar, jika pun perlu, untuk tujuan dramatik, untuk menghidupkan perkara yang masih menjadi satu teori yang tidak terbukti, memandangkan Jabatan Polis Los Angeles tidak pernah menyelesaikan kes pembunuhan Black Dahlia.

- Tenaga era #MeToo -

 

Cerita berkisar sekitar George Hodel – watak yang dibawa oleh pelakon Jefferson Mays – seorang kanak-kanak yang lekas matang dan seterusnya menjadi seorang pakar bedah berbakat dan pencinta seni yang hebat, sesuatu yang diwarisi cucu perempuannya Fauna.

Fauna akhirnya berkenalan dengan Jay Singletary (Chris Pine), seorang wartawan fiksyen yang khusus memburu golongan berpengaruh di Los Angeles, sebuah bandar raya di mana wang dan pengaruh memperbetulkan segalanya, terutamanya dengan polis.

Ekoran kejayaan ‘Wonder Woman’ pada 2017, pengarah Patty Jenkins telah merangka sebuah siri mini yang bergema dalam era #MeToo.

Jenkins, yang mengarah lakonan Charlize Theron yang memenangi anugerah Oscar sebagai seorang pelacur yang menjadi pembunuh dalam ‘Monster’, menerokai cerita suram tentang Black Dahlia menerusi pandangan seorang wanita muda yang lemah tetapi bertekad untuk membina kehidupan bagi dirinya sendiri.

Penulis skrip Sam Sheridan, suami Jenkins, dengan sengaja memilih barisan pelakon yang tidak ramai serta pementasan yang mudah, tidak banyak hiasan dan hampir bersifat teater.

“Edward Hopper memiliki stail visual yang saya amat sukai,” kata Sheridan kepada AFP, yang merujuk kepada seorang artis Amerika pada abad ke-20 yang terkenal kerana realismenya yang ketara.

“Kami berminat dengan rasa ala Hopper – rasa kesepian L.A. yang baharu.”

Fauna Hodel, penulis ‘One Day She’ll Darken’ yang bersifat autobiografi, telah merancang untuk membuat adaptasi filem selepas buku itu diterbitkan pada 2008.

- ‘Ruang untuk bernafas’ -

Namun itu adalah sebelum siri mini menjadi item panas seperti pada hari ini.

“Siri mini sudah kembali menjadi trend, dengan siri seperti ‘True Detective’, ‘Big Little Lies’ dan ‘The People vs. O.J. Simpson’,” kata Sheridan.

 

Namun Fauna Hodel tidak pernah melihat projeknya menjadi kenyataan. Dia meninggal dunia tahun 2017 pada usia 66 tahun, hanya beberapa minggu sahaja sebelum filem itu bermula.

Dengan menceritakan kisahnya, kata Sheridan, kekayaan cerita itu sendiri menimbulkan masalah.

“Kisah terlalu banyak sekali untuk sebuah filem cereka. Dan kita akan kehilangan begitu banyak kehalusan dan apa yang menjadikan kisah itu begitu indah, iaitu perjalanan peribadi Fauna, jika anda tersedut ke dalam aspek aksi tulen/jenayah benar.”

Namun format siri mini, dengan jumlah episod yang tetap dan sudah ditentukan lebih awal, memberikan ““segalanya ruang untuk bernafas”, katanya.

“Ia tidak berlarutan selama-lamanya. Kita ada penamat yang kita cuba capai,” katanya.

“Siri mini itu – bagi saya sebagai seorang penulis, seorang pencipta – mempunyai kepanjangan yang sempurna sama sekali.” — AFP

Advertisement