Anda di sini

Ternakan ikan sangkar lubuk emas 40 nelayan Pantai Pulau Kundor

Advertisement
 Pengusaha ikan siakap dalam sangkar Mohd Noor Mat, 59, menunjukkan ikan siakap yang telah matang daripada sangkar ternakan ikan di sungai Pulau Kundur untuk dijual dI Kampung Pantai Kundur. — Gambar Bernama
HASIL: Pengusaha ikan siakap dalam sangkar Mohd Noor Mat, 59, menunjukkan ikan siakap yang telah matang daripada sangkar ternakan ikan di sungai Pulau Kundur untuk dijual dI Kampung Pantai Kundur. — Gambar Bernama
__alt__
__alt__

BAGI mengurangkan kebergantungan kepada hasil laut sebagai punca pendapatan sekumpulan 40 nelayan di Pantai Pulau Kondor di Kota Bharu mengambil inisiatif mengusahakan ternakan akuakultur bagi memastikan dapur mereka sentiasa berasap terutama ketika keadaan cuaca tidak mengizinkan mereka ke laut.

Tinjauan Bernama ke kawasan itu berkenaan mendapati deretan sangkar ikan dibina di muara sungai Pulau Kundor oleh nelayan berkenaan. Antara ikan yang diternak di situ ialah ikan siakap, tilapia dan keli. Difahamkan ikan kerapu tidak sesuai diternak di situ kerana pertembungan air payau dan masin.

Sekumpulan penternak yang sedang berbual santai di pelantar ikan menyambut kedatangan wartawan Bernama dengan ramah. Mereka tidak ke laut kerana angin kencang dan tidak sesuai untuk melabuh pukat. Keselamatan bot juga kurang terjamin.

Seorang penternak, Mohd Nor Mat, 59, berkata sangkar ikan yang diusahakan mereka menjadi ‘lubuk emas’ untuk menampung perbelanjaan keluarga serta pendidikan anak-anak.

Beliau bersama kumpulan 40 nelayan di situ memulakan projek penternakan ikan dalam sangkar itu sejak lapan tahun lepas secara persendirian. Anggota kelompok memiliki antara empat hingga 10 sangkar ikan siakap dan beliau sendiri memiliki lapan sangkar.

Mohd Nor berkata benih ikan dimasukkan silih ganti dan tidak mengikut masa. Kebiasaannya benih ikan yang dimasukkan ke dalam sangkar dengan berat antara 400 gram dan 800 gram seekor.

“Saiz ikan ini boleh mengurangkan risiko kematian dan tempoh untuk dijual lebih cepat,” katanya sambil menambah setiap sangkar boleh diisi tidak lebih 80 ekor.

Dari segi permintaan terhadap ikan di Kota Bharu, ia amat memberangsangkan. Ada saja peraih yang datang untuk mendapatkan bekalan, katanya.

“Cumanya, saya sendiri lebih suka menyimpan ikan peliharaan ini sehingga besar sikit dan boleh dijaga dengan harga lebih tinggi… baru boleh mendapat untung,” katanya.

Mohd Nor berkata, beliau dan rakan-rakan masih menjadikan menangkap ikan di laut sebagai kerja tetap mereka dan hanya tumpu pada sangkar ikan semasa tidak ke laut.

Rakannya Idris Hassan, 59, berkata kesemua penternak terbabit adalah nelayan sepenuh masa.

Sebelum memulakan projek ini, pendapatan keluarga nelayan memang terhad. Dalam setahun, masa menangkap ikan sepenuh masa hanya tiga bulan. Selebihnya, perlu melihat kepada angin dan keadaan ombak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Alhamdulillah, dengan adanya ikan dalam sangkar ini, pendapatan kami lebih baik. Peraih dan pembeli sentiasa ada,” katanya sambil menambah ikan dijual antara RM16 dan RM17 sekilogram.

Seorang lagi penternak Asri Husin, 55, berkata beliau tertarik untuk menternak ikan dalam sangkar setelah beberapa nelayan lain mampu hidup lebih selesa walaupun semasa musim tengkujuh.

Beliau yang bermula dengan dua sangkar mula menambah jumlah sangkar yang ada apabila semakin selesa dengan aktiviti harian termasuk mendapat pulangan hasil jualan hasil ternakan.

Mohd Azizan Darus, 41, pula berkata menjadi penternak ikan dalam sangkar memerlukan kekuatan minda dan fizikal.

“Ada masanya kita berdepan dengan ikan mati di malam hari dan tidak boleh dijual kerana isi ikan rosak.

“Selain itu sangkar rosak sedangkan duit untuk membeli kayu sangkar tidak mencukupi kerana harga kayu mahal. Jadi kerja-kerja memulihkan sangkar tidak dapat dijalankan,” katanya sambil menambah harga ikan siakap di sangkar mencecah RM17 sekilogram dan berat ikan yang sesuai untuk dijual antara 1,500 gram dan 3,000 gram.

Beliau juga berkata ikan siakap mempunyai peminatnya tersendiri. Kebanyakannya tidak kisah dengan harga yang tinggi. Yang penting dapat ikan yang segar dan sihat dan seekor ikan siakap dijual antara RM20 hingga RM60 bergantung kepada saiz dan berat ikan.

Ditanya mengenai modal untuk memulakan penternakan ikan dalam sangkar itu, mereka sependapat setiap sangkar mencecah lebih RM1,000. Ia termasuk kos untuk membeli papan untuk dijadikan rangka sangkar, jaring dan tong  untuk mengapungkan sangkar.

Mengenai benih ikan pula Mohd Azizan berkata, biasanya ia melebihi RM500 dengan setiap petak sangkar boleh menampung sehingga 80 ekor anak ikan siakap dan jika terlebih ia boleh menyebabkan ikan tidak stres, jaring rabak dan ikan terlepas.

Bagaimanapun untuk menjamin bekalan ikan sentiasa ada, penternak memasukkan benih baharu bagi menggantikan ikan yang dijual. Kaedah ini juga dikatakan tidak membebankan penternak untuk membeli dalam jumlah yang banyak dan modal tinggi.

Mengenai makanan ikan pula, mereka menggunakan kepala ikan selayang dan sekali-sekala palet. Ada ketika ikan tidak diberi makan sampai dua minggu kerana ketiadaan bekalan ataupun pengusaha tiada duit.

Mohd Azizan juga berkata, mereka tidak mendapat bantuan modal mahupun benih serta makanan ikan.

“Kami amat berharap pihak terbabit terutama jabatan perikanan jenguk-jenguklah kami dan ambil tahu mengenai masalah yang dihadapi dan seterusnya membantu meningkatkan jumlah sangkar dan ternakan kami.

“Hanya dengan ini sahaja dapat membantu kami menjamin pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya sambil menambah “kami bukan malas bekerja untuk memperbaiki masa depan keluarga tetapi kami tidak mampu berbuat lebih lagi disebabkan kekangan kewangan.” — Bernama

Advertisement