Anda di sini

Rakyat harus bergerak ke hadapan dengan harapan, impian baharu

Advertisement
CHRISTINA
CHRISTINA

KOTA KINABALU: Rakyat disarankan untuk terus bergerak ke hadapan dengan harapan, aspirasi dan impian baharu bagi mencapai kehidupan yang lebih baik sebagai masyarakat Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata, setiap individu dalam negeri ini perlu mencapai sasaran dalam bidang masing-masing.

Beliau optimistik bahawa tahun baharu ini akan memberikan kejayaan yang positif walapun berhadapan pelbagai cabaran.

"Walaupun 2019 dijangka mempunyai cabaran dari segi ekonomi, tetapi jangan biarkan apa juga halangan sebagai alasan kepada kita untuk tidak mencapai sasaran sendiri.

"Saya percaya terdapat peluang yang lebih banyak masih belum diterokai untuk semua rakyat di negeri ini.

"Ia terpulang kepada setiap individu sama ada mempunyai niat untuk meneroka atau mengambil peluang yang ada bagi mendapatkan faedah itu," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2019, di sini hari ini.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengingatkan tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan sebaliknya berusaha sedaya upaya bagi mencapai sasaran yang dimahukan.

Dalam pada itu, beliau juga ingin menggalakkan semua rakyat negeri ini untuk mengambil peluang melawat destinasi-destinasi pelancongan yang terdapat di Tawau pada tahun ini.

"Selain menarik pelancong asing datang, kerajaan juga menyasarkan perkembangan dalam industri pelancongan domestik.

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk menjemput kepada semua masyarakat bukan Tionghua menyertai festival-festival yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina dalam semangat kesatuan dalam kepelbagaian.

"Inilah yang menjadikan Sabah unik dan istimewa di mata dunia. Kita adalah contoh terbaik dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang mampu hidup secara aman serta harmoni di bawah satu bumbung," katanya.

Menurutnya, Sabah sangat layak dijadikan contoh terbaik kepada negeri lain dalam negara ini.

Christina juga menjemput semua rakyat negeri ini untuk hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Kerajaan Negeri pada 5 Februari ini di Dewan Hakka bermula jam 10 pagi sehingga 3 petang.

"Selamat Tahun Baharu Cina diucapkan kepada semua rakyat Sabah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement