Anda di sini

PPM Tawau tangkap suspek penyeludup tong gas

Advertisement
SUSPEK, tong LPG dan kenderaannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau.
SUSPEK, tong LPG dan kenderaannya ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menangkap seorang lelaki yang disyaki cuba menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) dari daerah ini ke negara jiran.

Tangkapan dilakukan susulan maklumat Unit Risikan Marin (URM) bahawa terdapat sebuah kenderaan Toyota Hilux mencurigakan di tapak parkir Pasar Ikan Tawau antara jam 8 dan 9 pagi Sabtu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata suspek, 45, yang juga seorang lelaki warga asing turut dikesan sebagai pemandu kenderaan terbabit.

“Kita menemukan 11 tong LPG di kenderaan berkenaan dan suspek mengaku hendak menyeludup keluar kesemua barang kawalan terbabit,” katanya di sini hari ini.

Katanya suspek disyaki dengan sengaja meletakkan kenderaannya di tapak parkir berkenaan kerana mahu menyeludup tong LPG itu menerusi jalan laut.

Pemeriksaan mendapati suspek gagal menunjukkan surat Pembelian Barang Kawalan Berjadual Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Berikutan itu, suspek dan barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM60,000 termasuk kenderaannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau,” katanya.

Beliau berkata penahanan suspek, tong LPG dan kenderaan terbabit dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1967 untuk siasatan susulan.

  • oleh
  • Advertisement