Anda di sini

Pantau penjualan pil minda di sekolah

Advertisement
Fadzil

KUCHING: Pihak berkaitan perlu membendung penjualan pil minda kepada pelajar sekolah, khususnya melibatkan para guru sekiranya kegiatan seperti itu berlaku.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datu Dr Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata langkah pencegahan segera itu perlu bagi mengelak kegiatan sedemikian berleluasa yang akhirnya memudaratkan kanak-kanak amnya.

“Kalau peniaga biasa menjual pil minda ini, mungkin ia masih kurang mendapat perhatian ibu bapa. Sebaliknya jika guru-guru sendiri yang menjual pil berkenaan sepertimana yang didakwa, sudah pastilah ibu bapa akan menjadi obses untuk membeli pil berkenaan. 

“Jika benar, pihak tertentu perlulah membendung perkara sedemikian dengan seberapa segera sebelum ia menjadi mudarat,” katanya bagi mengulas isu jualan pil minda dalam kalangan guru.

Fadzil menegaskan kunci kepada kejayaan yang sebenar adalah terletak pada ketabahan dan kekuatan diri untuk mencorak dan mengatur minda supaya lebih terarah dan menguasai tahap disiplin yang tinggi untuk belajar dan membahagikan masa dengan bijak serta menyemai sikap yang betul terhadap pelajaran. 

Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa khasnya supaya tidak terpengaruh dengan kesan pil minda terhadap pembelajaran anak-anak.

Katanya, adalah lebih penting untuk ibu bapa memastikan bimbingan yang berterusan di samping memberikan sokongan padu serta mengambil berat pelajaran anak-anak.

“Kalaulah dengan hanya memakan pil minda sahaja kita boleh berjaya, elok sahaja kita makan pil tanpa perlu banyak berusaha,” ujarnya.

Advertisement