Anda di sini

Lontara Anak Muda Bugis sambut baik usul nilai semula tafsiran Ordinan

Advertisement
SUNDUSIN
SUNDUSIN

TAWAU: Persatuan Anak-Anak Muda Bugis Malaysia (Lontara) menyambut baik usul untuk Kerajaan Negeri menilai semula penafsiran Ordinan (Tafsiran Anak Negeri) Bab 64 (1952 Pindaan 1992) berkaitan pengeluaran semula Sijil Anak Negeri yang sudah dibekukan.

Presidennya, Sundusin Nganro menyifatkannya khabar gembira bukan hanya kepada orang Bugis, tetapi kaum lain setaraf dengannya yang sudah lama menetap di Sabah.
 
“Kita menyokong inisiatif mengkaji semula ordinan itu sama seperti yang dinyatakan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar.
 
“Bahawa, jika Sijil Anak Negeri dikeluarkan semula, hanya orang yang diyakini berkelayakan sahaja boleh dipertimbangkan untuk memperolehinya,” katanya.
 
Sundusin percaya usul menteri itu sebagai satu tindakan wajar dan perlu diberikan sokongan kerana menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada warganya.
 
Menurutnya, orang Bugis sendiri tercatat dalam sejarah sebagai salah satu suku yang bertapak awal di negeri ini sebelum merdeka, iaitu dalam lingkungan tahun 1880-an.
 
“Malah, pemimpin Bugis di Tawau, La Toampong Andi Buku atau dikenali sebagai Puado diangkat sebagai pemimpin masyarakat pertama di Daerah Tawau,” katanya.
 
Beliau berkata orang Bugis dan kaum lain setaraf dengannya yang turun-temurun tinggal di Sabah berasimilasi dan mempunyai hubungan baik dengan kaum lain.
 
Mengulas lanjut Sijil Anak Negeri disifatkannya juga sebagai bentuk pengiktirafan Kerajaan Negeri kepada orang-orang lama di negeri ini yang sudah menabur bakti.
 
“Kita jangan lupa bahawa pengeluaran Sijil Anak Negeri pernah diberikan kepada orang Bugis dan kaum setara dengannya yang benar-benar layak, sebelum dihentikan semenjak 1982.
 
“Semua kaum di Sabah mahu mempertahankan hak masing-masing, termasuk Orang Asal, dan semua pihak seharusnya menghormati pendirian sekalipun ada perbezaan.
 
“Jika dalam peruntukan undang-undang pula membenarkan untuk pengeluaran Sijil Anak Negeri, maka saya fikir tidak salah untuk kaum lain termasuk Bugis memohon.
 
“Kita akur jika peraturan atau prosedur yang ditetapkan oleh Mahkamah Adat Negeri ketat, tetapi mohon jangan sampai hilang rasa saling hormat-menghormati yang diwarisi,” katanya.
 
Beliau percaya orang Bugis juga bersyukur hidup di Sabah sebagai warga Malaysia, malah turut menghormati peruntukan undang-undang negara sebagaimana kaum lain.
 
Menyentuh kepimpinan Kerajaan Sabah di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula, pihaknya berterima kasih dengan usul yang dibangkitkan itu.
 
“Kita sudah lama tinggal di Sabah bersama-sama dalam keadaan rukun, aman dan damai, justeru diharap kita jagalah bersama nikmat keamanan yang dikecapi.
 
“Keprihatinan Kerajaan Negeri kita hormati, namun pada masa sama Lontara percaya perpaduan dan keamanan di tanahair tercinta ini adalah yang paling utama,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement