Anda di sini

Lapan suspek dadah diberkas

Advertisement
SUSPEK tangkapan kes dadah yang diberkas dalam Ops Sarang.
SUSPEK tangkapan kes dadah yang diberkas dalam Ops Sarang.

KOTA KINABALU: Seramai lapan lelaki diberkas polis dalam Ops Sarang dipercayai terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan di kawasan Sinsuran dan Kampung Air di sini.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) bermula jam 2 hingga 9 pagi Sabtu.

"Sebanyak 16 paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 6.4 gram dirampas dalam operasi ini.

"Rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM1,000 dan kesemua suspek berumur dalam lingkungan 13 hingga 41 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut terhadap kesemua suspek dijalankan mengikut Seksyen 39 (A) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam pada itu, pihaknya turut menjalankan Ops Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam/Ops Bas Express selama dua jam bermula jam 7.30 malam Sabtu.

Menurutnya, sebanyak 73 saman polis dan 11 saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta lima notis pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan.

Habibi berkata, kenderaan jenis motokar menerima saman paling banyak dan 35 daripadanya melibatkan kesalahan lampu brek ketiga tidak berfungsi.

"Lima pemandu bas menjalani ujian air kencing dan kesemuanya bebas daripada kesalahan pengambilan dadah.

"Operasi Bersepadu bersama JPJ ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pemandu mematuhi peraturan di jalan raya," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement