Anda di sini

Kepelbagaian budaya jadikan masyarakat Sabah unik

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

KOTA KINABALU: Festival kebudayaan seperti Tahun Baharu Cina telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Sabah yang bukan sahaja disambut oleh komuniti Tionghua tetapi juga semua lapisan masyarakat dalam negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keadaan itu mengingatkan semua masyarakat di Sabah bahawa perayaan seumpamanya telah menjadi tunjang utama kesatuan keharmonian rakyat negeri ini.

"Ia menjadi peringatan kepada kita bahawa kekuatan sebagai Sabahan adalah terletak pada penerimaan di antara satu sama lain dalam kepelbagaian komuniti kita.

"Hubungan yang rapat di antara pelbagai budaya dan latar belakang masyarakat Sabah telah menjadikan kita unik serta bersatu," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata, kepimpinan Kerajaan Warisan Sabah sangat berbangga untuk bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kerana ia akan menjadikan sejarah warisan negeri lebih kaya.

Katanya, ia juga akan menguatkan lagi hubungan yang terjalin di antara satu sama lain dalam negara ini seterusnya mewujudkan suasana aman dan harmoni.

"Dalam perayaan kali ini, saya ingin mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai' kepada semua masyarakat yang meraikan Tahun Baharu Cina.

"Sebagai Ketua Menteri, saya berharap negeri ini dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan dan seterusnya menjadi salah sebuah negeri yang berdaya saing di Malaysia," katanya.

Menurut Shafie, kemajuan dan kekayaan yang dicapai oleh masyarakat Cina dan juga komuniti lain tidak datang secara bergolek, sebaliknya ia diperolehi dengan usaha gigih serta kerja keras.

"Seperti juga di Sabah, kita perlu meletakkan sasaran yang tinggi dan mempunyai pemikiran serta perancangan yang positif untuk mencapainya.

"Dalam usaha mencapai sasaran itu, semua pihak mesti bersama-sama bekerja keras tanpa mengira sebarang halangan atau cabaran yang bakal dihadapi sepanjang perjalanan nanti," katanya.

Beliau turut menyeru semua rakyat Malaysia di Sabah bersatu untuk menyokong kerajaan negeri bagi mencapai kejayaan yang lebih tinggi.

  • oleh
  • Advertisement