Anda di sini

Kekalkan keharmonian antara semua kaum: Jamawi

Advertisement
JAMAWI (empat kanan) bersama Noorita dan Chan Fook Hin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada orang ramai yang hadir di majlis berkenaan
JAMAWI (lima kanan) bersama Noorita dan Chan Fook Hin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada orang ramai yang hadir di majlis berkenaan

TENOM: Rakyat digesa mengekalkan keharmonian antara kaum yang sudah wujud sekian lama, sekali gus menjadikan Malaysia negara yang unik di mata dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar, berkata semua pihak perlu menjauhkan diri dari sifat iri hati dan hasad dengki dalam diri yang dilihat boleh  merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Jangan kita mencipta jurang antara kaum dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati mana-mana kaum kerana Malaysia bukan milik satu kaum saja tetapi milik kita semua.

“Kebelakangan ini, ada pihak yang berkepentingan cuba mengeruhkan hubungan baik rakyat berbilang bangsa hingga ada ketikanya tidak mempedulikan sensitiviti agama dan kaum.

“Perbuatan ini terbawa-bawa hingga ke media sosial yang dijadikan medan untuk melontar tohmahan, tuduhan yang tidak berasas dan sensitif sambil disambut pula oleh pihak yang ada muslihat tertentu,” katanya ketika  berucap merasmikan Program Karnival Sempena Perayaan Sambutan Tahun Baharu Cina 2019.

Karnival anjuran bersama  Pejabat Parlimen Tenom dan Persatuan Penganut Dewan Tai Pak Kung itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Fook Hin

Dalam pada itu, Jamawi berkata, rakyat perlu meraikan dan menghargai titik persamaan yang ada dalam kepelbagaian budaya, adat resam, agama dan bahasa, sekali gus menjadi pengukuh kepada perpaduan negara.

“Semangat tolak ansur, muhibah dan bersatu-padu antara semua kaum adalah elemin penting untuk memastikan negara kekal stabil, aman dan makmur.

“Jangan biarkan hubungan yang sudah terjalin sekian lama ini terlerai kerana adanya syak wasangka sesama kita, " katanya.

Tambah Jamawi, semangat berkongsi perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas dengan mengamalkan budaya kunjung mengunjungi perlu terus dilestarikan .

"Melalui budaya kunjung mengunjungi inilah semangat muhibah dan harmoni dapat diperkukuhkan walaupun berbeza agama, bangsa dan kepercayaan," katanya

Pelbagai acara diadakan sempena karnival itu antaranya persembahan tarian singa, persembahan nyanyian, silap mata, penyampaian angpau kepada kanak kanak dan juga penyampaian sumbangan kepada persatuan bagi orang-orang pekak daerah cawangan Tenom.

  • oleh
  • Advertisement