Anda di sini

Jangan guna sentimen kaum semata-mata untuk kepentingan politik

Advertisement
 Darell (kanan) menyampaikan sumbangan berupa angpau dan hamper kepada salah seorang daripada 102 warga emas.
SEMAI PERPADUAN: Darell (kanan) menyampaikan sumbangan berupa angpau dan hamper kepada salah seorang daripada 102 warga emas.

PENAMPANG: Jangan sesekali menggunakan sentimen bangsa untuk kepentingan politik masing-masing memandangkan rakyat Sabah sememangnya sudah mencapai perpaduan antara satu sama lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking berkata, cara rakyat Sabah untuk menuju ke hadapan adalah mencari persamaan dalam kalangan etnik di negeri ini.

“Tidak kira anda seorang Cina, Bajau, Kadazan Dusun Murut (KDM), Suluk, Brunei dan etnik lain di negeri ini... anda semua adalah Sabahan.

“Saya sangat bersimpati mereka mereka yang menggunakan bangsa untuk kepentingan politik mereka.

“Saya seorang Kadazan, tetapi saya tidak pernah menggunakan bangsa saya sebagai platform berpolitik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tahun Baharu Cina Program Tanggungjawab Sosial Korporat Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, KDM di Sabah sudah bersatu dan adalah tidak baik sering menimbulkan kenyataan yang sebaliknya.

“Mengapa terdapat pemimpin dalam KDM sering mengatakan tidak ada kesatuan dalam KDM sedangkan faktanya etnik ini sangat bersatu.

“Merekalah yang sebenarnya tidak bersatu, mereka sendirilah yang tidak dapat duduk bersama... anda semua sendiri boleh lihat bagaimana mereka seorang pemimpin Kadazan sentiasa bercakap mengenai kesatuan sedangkan mereka sendiri tidak bersama dalam kalangan sendiri,” katanya.

Darell yang juga Ahli Parlimen Penampang menyeru agar dihentikan sentimen seumpamanya dan bersatu menyuarakan mengenai kepentingan Sabah.

Menurutnya, bekerja sebagai menteri di persekutuan memberikan satu kesedaran kepadanya bahawa mereka (Semenanjung Malaysia) sebenarnya hormat kepada rakyat Sabah.

“Mereka sedar berlakunya perpecahan dalam kalangan kaum Cina, Melayu dan India di sana... mereka sentiasa berkata ingin menjadi seperti Sabah, jadi mengapa terdapat sesetengah orang kita masih mengatakan kesatuan dalam KDM sedangkan KDM dan etnik lain di sini sememangnya bersatu,” katanya.

Katanya, berbanggalah dengan bangsa sendiri dan jangan sesekali menggunakan sentimen kaum untuk kepentingan politik.

Dalam pada itu, Darell turut menyeru kepada pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan tanggungjawab mengurangkan kejadian banjir di Penampang.

“Saya jangkakan kita akan berhadapan dengan banjir dalam beberapa minggu atau bulan akan datang, pihak berkuasa perlulah buat kerja dengan cepat untuk membersihkan parit dan memperbaiki kerosakan yang ada agar air dapat mengalir dengan baik.

“Ingat tiada orang paksa anda menjadi seorang wakil rakyat, seperti juga pegawai eksekutif serta pegawai lain dalam majlis daerah.

“Itu adalah tanggungjawab anda seperti saya juga mempunyai tanggungjawab sekiranya rakyat menyampaikan aduan kepada saya,” katanya.

Advertisement