Anda di sini

200 mangsa banjir Kota Marudu terima sumbangan

Advertisement
Arsit dan Zairenah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Arsit dan Zairenah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

KOTA MARUDU: Seramai 200 ketua keluarga dari 12 kampung di sini menerima sumbangan akibat banjir daripada Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad (KOP-Pusmaju) dan Permodalan Capital Berhad (PCB) bernilai RM30 ribu menerusi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia).

Penyampaian sumbangan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Usia Datuk Arsit Sedi bertempat di Masjid At-Taqwa Pekan Kota Marudu pagi Sabtu.

Menurut Arsit sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan pihak Usia dan dua syarikat terbabit kepada mangsa banjir di daerah ini.

"Kali ini, kami turun padang berjumpa dengan mangsa untuk menyampaikan sumbangan selain dapat merasai perasaan mereka yang terpaksa menempuh cabaran dan dugaan akibat banjir.

"Kami menyampaikan sumbangan berupa beras dan makanan serta minuman kepada mangsa banjir terlibat," katanya.

Beliau turut bersimpati terhadap mangsa banjir dan berharap bantuan yang disampaikan itu mampu menurangkan bebanan mereka.

Sementara itu, Pengerusi KOP-Pusmaju Datin Zairenah @Irene Bt Siyu menjelaskan sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial korporat kepada mangsa banjir.

Katanya, pihak syarikatnya sedia membantu dan memberikan sumbangan kepada mana-mana mangsa seperti banjir, kebakaran dan bencana alam yang lain jika ada permintaan.

Beliau berharap sumbangan yang tidak seberapanya itu dapat meringankan bebanan mangsa banjir.

Seorang mangsa banjir Musa Ghani mengucapkan terima kasih kepada penganjur atas keprihatinan membantu mereka setelah dilanda banjir.

Sementara Jaslinah Mosibur pula rasa terharu menerima sumbangan yang diberikan dan berharap agar lebih banyak lagi badan kerajaan, NGO serta syarikat tampil memberikan sumbangan.

Sebanyak 12 kampung yang menerima bantuan itu ialah Tandek Laut (10), Tandek (10), Tambun (25), Salimandut (10), Rasak Laut (20), Masolog (25), Marudu Laut (20), Damai (14), Ungkilan (20), Tanjung Batu Susak (1), Bodi Ungkilan (20) dan Langkon Lama (25).

Turut bersama dalam majis itu ialah Pengerusi Tetap Usia Datuk Ismarah Madcasar, Naib Yang Dipertua Usia Madaile Basri, Setiausaha Agung Datuk Hamzah Mohd Zakaria serta Ahli Majlis Tertinggi Abtin Atoh dan Zainal Aliuddin yang juga ketua Usia Bahagian Kota Marudu.

Advertisement